MBS hadkan kemasukan kenderaan berat kawasan industri TTJ

MBS hadkan kemasukan kenderaan berat kawasan industri TTJ

MBS menempatkan warden trafik bagi mengawal lalu lintas di lampu isyarat TTJ dan simpang pertama industri TTJ bagi memastikan tiada kenderaan lima tan memasuki kawasan perindustrian sekali gus mengelakkan kesesakan trafik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mempunyai pelan kontigensi yang akan digunakan jika kaedah mengehadkan kemasukan kenderaan berat masuk bagi mengatasi kesesakan trafik di laluan masuk kawasan perindustrian Taman Tuanku Jaafar (TTJ) di sini tidak berjaya. 

Bagaimanapun kata Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali, sejak kaedah itu dilaksanakan, kesesakan yang berlaku di kawasan terbabit terutama pada waktu puncak dapat dikurangkan. 

Katanya, pengehadan laluan berkenaan bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di persimpangan Taman Tuanku Jaafar dan Taman Tuanku Najihah. 

“Setakat ini maklum balas yang diterima berhubung kesesakan trafik di laluan masuk ke kawasan perindustrian TTJ melalui Jalan Tuanku Jaafar Barat sangat positif malah tempoh masa menunggu pun tidak lama.

“Sebelum ini, kesesakan teruk berlaku dari arah bandar Seremban sehingga sampai ke jalan utama arah ke TTJ. Dengan usaha yang dilakukan ini MBS turut menempatkan warden trafik di laluan tersebut bagi mengawal lalu lintas pada waktu puncak iaitu pada pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi dan pada pukul 5 hingga 7.30 petang. 

“Warden trafik akan mengawal lalu lintas di lampu isyarat TTJ dan simpang pertama industri TTJ bagi memastikan tiada kenderaan lima tan memasuki kawasan perindustrian dan sekiranya didapati terdapat kenderaan berat memasuki laluan larangan, pemandu diminta lencongkan kenderaan terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Masri berkata, MBS akan terus memantau kawasan tersebut sehinggalah larangan kenderaan berat masuk di laluan masuk ke kawasan perindustrian TTJ melalui Jalan Tuanku Jaafar Barat dapat diterima ramai. 

“Sekiranya kaedah mengehadkan laluan bagi kenderaan berat ini tidak berjaya, MBS masih mempunyai pelan kontigensi lain yang akan digunakan untuk mengatasi masalah kesesakan yang dialami di kawasan tersebut,” katanya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN