Mayat lelaki ditemukan terapung di tali air - Utusan Malaysia

Mayat lelaki ditemukan terapung di tali air

ANGGOTA bomba dan polis mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di sebuah tali air di Kampung Tetambah dekat Manir, Kuala Terengganu, petang tadi. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lelaki berusia 30-an ditemukan terapung di sebuah tali air di Kampung Tetambah dekat Manir di sini, kira-kira 4.45 petang tadi

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd. Zaki Wan Ismail, kejadian itu disedari sekumpulan remaja yang berada di tali air untuk mencari lala sebelum dikejutkan penemuan mayat lelaki tersebut bersama sebuah motosikal.

“Sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dan mendapati terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan terapung di tali air berkenaan.

“Mayat itu dibawa naik ke tebing sambil dibantu pasukan penyelamat di air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu sekitar pukul 6.50 petang.

“Pihak keluarga telah membuat pengecaman dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, malam ini.

Beliau menjelaskan, buat masa ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian.

Sementara itu, menurut Muhammad Nur Aiman Syazmi Shahrizal, 13, dia dan rakan tiba di tali air itu pada pukul 4.35 petang dan sempat mencari lala selama beberapa minit.

Katanya, setibanya di tempat kejadian terdapat sebuah motosikal namun tiada individu lain di kawasan berkenaan menyebabkan mereka meneruskan aktiviti.

“Kami nampak ada sebuah motosikal dan selipar tetapi tiada sesiapa yang berada di kawasan tali air dan kami pun tidak fikir apa-apa.

“Kira-kira 10 minit kemudian, saya ternampak mayat dalam keadaan terapung lalu kami segera memberitahu penduduk kampung di surau berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya