Mayat bayi berulat, ditanam belakang rumah

Mayat bayi berulat, ditanam belakang rumah

LOKASI penemuan seorang bayi lelaki cukup sifat yang ditanam di belakang sebuah rumah di Taman Mutiara, Kangar, Perlis.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bau busuk dari arah belakang sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam kejadian di Taman Mutiara, di sini, Sabtu lalu. 

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemukan selepas seorang guru lelaki berusia 44 tahun bertindak mencangkul kawasan belakang rumahnya itu kira-kira pada pukul 10.30 pagi susulan terhidu bau busuk berkenaan.

Ketika ditemukan, mayat bayi dalam keadaan berbungkus dengan kain putih dan berulat.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pengadu kemudian telah ke balai polis bagi membuat laporan berhubung penemuan itu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil siasatan dijalankan mendapati mayat bayi itu tertanam di dalam tanah yang berkedalaman lima inci di kawasan terbuka dan tidak berpagar.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati jantina bayi tersebut merupakan seorang lelaki cukup sifat dan panjang ukurannya adalah 46 sentimeter.

“Keadaan mayat bayi itu sewaktu dijumpai masih bertali pusat dan beruri dengan berbalut kain berwarna putih,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, polis juga berjaya mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes itu yang merupakan seorang pembantu rumah dan bekerja di salah sebuah rumah sekitar taman berkenaan.

Katanya, berdasarkan keterangan, suspek juga mengaku menanam bayi tersebut selepas mendapati dia tidak lagi bernyawa.

“Suspek merupakan seorang janda warganegara asing dan lokasi bayi itu dilahirkan adalah di sebuah bilik air tingkat tiga di Taman Mutiara di sini.

“Bayi berkenaan dikatakan dilahirkan pada 20 Disember lalu sekitar pukul 12 tengah hari dan suspek bertindak menggali tanah di belakang rumah jirannya selepas mendapati bayi dilahirkan itu tidak bergerak,” katanya.

Tambahnya, mayat bayi berkenaan dihantar ke bahagian forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan luaran yang nyata malah mayat mengalami proses pembusukan. 

“Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya