Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Terengganu terus meningkat

SEORANG peniaga kedai runcit memindahkan barangan perniagaan setelah dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Nibong, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hari keempat banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,942 orang daripada 535 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,067 orang daripada 312 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Ia susulan penambahan 19 lagi pusat pemindahan sementara (PPS) secara berperingkat di beberapa lokasi mulai lewat petang semalam.

Ketika ini, terdapat 32 PPS beroperasi di empat daerah di Terengganu iaitu 16 di Besut
Setiu (enam), Hulu Terengganu (lima) dan Dungun (lima).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, mangsa tertinggi ketika ini ialah di daerah Besut iaitu 744 orang daripada 182 keluarga.

Menurutnya, mangsa di Besut meningkat dengan mendadak berbanding hanya seramai 13 orang daripada enam keluarga petang semalam disebabkan limpahan air sungai akibat hujan lebat berterusan.

“Situasi sama berlaku di Dungun apabila mangsa bertambah kepada 700 orang daripada 195 keluarga berbanding 268 orang daripada 84 keluarga petang semalam.

“Di Hulu Terengganu, mangsa meningkat kepada 316 orang daripada 106 keluarga berbanding 183 orang dari 53 keluarga sebelum ini,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Situasi berbeza berlaku di Setiu kerana banjir bertambah baik apabila mangsa berkurangan kepada 182 orang daripada 52 keluarga berbanding 603 orang daripada 169 keluarga sebelum ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan tiga sungai di tiga daerah masih melepasi paras bahaya setakat pukul 8 pagi ini.

Tiga sungai tersebut ialah Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih (Kemaman) yang merekodkan bacaan setinggi 14.10 berbanding paras bahaya 14.0 meter, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja (daerah Dungun) iaitu 39.21 meter (paras bahaya 38.70 meter) dan Sungai Besut di Jambatan Keruak (daerah Besut) setinggi 35.23 meter (paras bahaya 35.0 meter). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya