Mangsa banjir di Terengganu bertambah - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Terengganu bertambah

PASUKAN Forward Medical Team daripada Angkatan Tentera Malaysia melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa-mangsa banjir di PPS Kampung Shukor, Hulu Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa yang terjejas banjir di Terengganu bertambah sedikit kepada 1,990 orang daripada 534 keluarga pada pukul 4 petang ini berbanding 1,942 orang daripada 535 keluarga pada 8 pagi tadi.

Ketika ini, terdapat 26 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di empat daerah iaitu 11 di Besut, Setiu (lima), Dungun (enam) dan Hulu Terengganu (empat).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, situasi banjir di Dungun bertambah buruk dibandingkan tiga daerah yang lain.

Menurutnya, mangsa terus bertambah di daerah Dungun iaitu 953 orang daripada 268 keluarga petang ini berbanding 700 orang daripada 195 keluarga pagi tadi.

“Selain itu, banjir di tiga daerah yang lain semakin baik dengan mangsa berkurangan di daerah Besut iaitu 639 orang daripada 154 keluarga berbanding 744 orang daripada 182 keluarga sebelum ini.

“Di Hulu Terengganu, mangsa juga menurun kepada 299 orang daripada 93 keluarga berbanding 316 orang daripada 106 keluarga pagi tadi.

“Di Setiu, mangsa berkurangan kepada 99 orang daripada 19 keluarga berbanding 182 orang daripada 52 keluarga pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air pula melaporkan hanya satu sungai masih melepasi paras bahaya setakat pukul 4 petang ini iaitu Sungai Dungun di daerah Dungun.

Dua lagi sungai pula masih melepasi paras amaran iaitu Sungai Nerus di daerah Setiu dan Sungai Besut di daerah Besut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya