Lelaki ditahan bantu siasatan penemuan mayat pengawal keselamatan - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bantu siasatan penemuan mayat pengawal keselamatan

LELAKI dipercayai suspek kes bunuh pengawal keselamatan diberkas di Kampung Manjoi, Ipoh di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang pengawal keselamatan di tapak perkhemahan dekat Gunung Lang di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu diberkas pada pukul 1.45 tengah hari di Kampung Manjoi.

“Suspek yang merupakan penganggur itu mempunyai 10 rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik selain pernah menerima rawatan psikitri di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok, bagi permohonan reman,” katanya di sini hari ini.

Menurut Yahaya, penemuan mayat oleh orang awam itu dilaporkan kepada polis pada pukul 2.30 pagi.

Katanya, mangsa yang merupakan warga tempatan itu dijumpai terbaring dalam keadaan berlumuran darah di tepi pagar tapak perkhemahan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 41 tahun itu bertugas sebagai pengawal keselamatan di tapak perkhemahan tersebut.

“Pemeriksaan oleh petugas ambulans mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Yahaya berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematiannya akibat penyakit jantung dengan kecederaan disebabkan objek tumpul dan tajam.

Sehubungan itu katanya, siasatan kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Dengan tertangkapnya suspek, maka kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Pihak polis akan melengkapkan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN