Legenda fotografi Eric Peris, ikon seni sepanjang zaman

Legenda fotografi Eric Peris, ikon seni sepanjang zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SATU gambar 1,000 makna.” 

UNGKAPAN popular dari terjemahan ‘One Picture is Worth a Thousand Words’ atau ‘A Picture is Worth a Thousand Words’ sering kita dengar. 

Melalui sekeping gambar, ia memberi mesej tersirat mengandungi ribuan makna. 

Terpulang kepada individu yang mentafsirkan definisi bagi sesebuah gambar. Tiada hukum alam yang menentukan maksud sesuatu momen yang dirakam. 

Demikian perkongsian legenda fotogra , Eric Peris, 84. Di matanya sarat pengalaman dan kenangan membidik momen terbaik sepanjang hidup berbekalkan kamera biasa. 

Sosok ini masih petah berkata-kata dan setiap kenangan yang diputar kembali, tersimpan kemas dalam bingkisan memori tanpa tersekat-sekat. 

Alur penceritaannya kemas dan mudah difahami. Bapanya, O Don Peris yang merupakan seorang pengarca berasal dari Sri Lanka dan pernah berkhidmat sebagai pelukis bagi keluarga kerabat diraja Johor Bahru. 

Ibu dan kakaknya juga menceburi bidang seni sebagai pelukis. Secara tidak langsung, darah seni dalam keluarganya mengalir deras. 

Beliau mengakui banyak belajar erti kesabaran daripada bapanya yang pernah menuntut ilmu di Paris, Perancis. 

“Bagi mendapatkan hasil kerja terbaik, kita perlu banyak bersabar. Itu pesan ayah. 

“Ketika membesar, saya banyak melihat ayah melukis, bagaimana beliau menggunakan gabungan warna. 

“Akhirnya, saya juga minat dalam bidang seni tetapi sebagai jurugambar,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Galeri Seni Eric Peris di Balai Seni Negara, baru-baru ini. 

Zaman dahulu, mungkin terlalu ‘taboo’ dalam kalangan ibu bapa yang mahu anaknya menjadi doktor, jurutera atau peguam. Persoalan berkenaan turut berlegar dalam kalangan keluarga dan teman taulan Eric.  

Tiga pekerjaan itu sering dibayangi sebagai profesion dengan kadar upah tinggi. Sedangkan, bidang seni juga menjanjikan pendapatan sama sekiranya disulami kesungguhan. 

“Bapa saya tidak pernah peduli dengan cakap-cakap orang di sekeliling. Beliau selalu cakap kalau ayahnya kerani, anak mesti menjadi ketua kerani.

“Sejak itu, saya sedar tentang nilai dan pengajaran besar daripada kata-kata ayah. Saya terus menyatakan minat terhadap bidang fotografi. Namun benar, minat sahaja tak mencukupi kerana kita perlu berada dalam industri ini serta merasai pengalaman sendiri,” kongsinya. 

HITAM PUTIH 

Karier Eric bermula sebagai jurugambar di syarikat penerbitan, Face Time di Singapura, pada 1950an. 

Selepas syarikat itu ditutup, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur menyertai majalah lain, pada 1970. 

Eric kemudian bertugas sebagai wartawan foto di The New Straits Times (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar sehingga bersara pada 1994.  

Sebagai wartawan foto, beliau banyak membuat esei foto serta menulis artikel tentang fotografi. 

Pameran foto buat julung-julung kali dalam hidupnya diadakan pada 1982. Sehingga kini, sebanyak 43 pameran foto tercatat dalam diarinya. 

Eric secara eksklusif menjadikan gambar ‘hitam putih’ sebagai identiti dan tanda dagang dirinya dalam bidang ini. 

“Ia lebih murah daripada filem berwarna tetapi yang lebih penting, imej monokromatik itu mempunyai misteri tersendiri dan menjadi lebih menarik. 

“Kalau imej berwarna kita sudah tahu kesemua rupa bentuk seseuatu imej. 

“Dalam filem hitam dan putih, anda perlu memberi perhatian kepada sesebuah bentuk dan itulah sebabnya ia lebih mengujakan saya,” jelasnya. 

Bertugas dalam bilik berita, sudah tentu banyak pengalaman dilalui, termasuk kata-kata ‘makan dalam’ penyunting gambar (editor) terhadap dirinya. 

“Kalau tertinggal cerita (story) tidak mengapa, tetapi kalau tertinggal gambar, habislah. Itu memang saya ingat sampai sekarang,” ujarnya yang begitu meminati gambar landskap dan alam semula jadi.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya