PETALING JAYA: Kerajaan akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain sempena program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan.
Menurut beliau, penambahbaikan program SARA adalah langkah awal bagi menangani kesenjangan kekayaan serta membina masyarakat inklusif dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Insya-Allah, kerajaan akan mengumum lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan-bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjung prinsip kesaksamaan.
“Program SARA telah ditambah baik dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta, berbanding perbelanjaan RM130 juta pada tahun lalu.
“Peruntukan yang lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000 berbanding 210,000 pada tahun lalu,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Kerajaan meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah penerima SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Golongan bujang kekal pada kadar RM600.
Penggunaannya diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Bagi penerima program SARA di Semenanjung, bantuan akan disalur secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.
Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan SARA akan disalur dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 dan 12 Ogos 2024 melalui pengkreditan ke akaun bank secara tunai.
Bagaimanapun, Utusan Malaysia semalam melaporkan, SARA memerlukan penilaian kritikal tentang potensi kelemahan dan kesan jangka panjang supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada insentif tunai.
Pakar-pakar ekonomi percaya, kebergantungan rakyat yang berlebihan terhadap SARA boleh ‘memerangkap’ penerima dalam kitaran kemiskinan, akibat kekurangan insentif untuk bekerja dan pelaburan dalam pembangunan kemahiran.
Sementara itu, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Negeri (TYT) Sarawak akan diumumkan dalam masa terdekat ini selepas nama yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri kepada oleh Yang di-Pertuan Agong, diperkenankan baginda.
Mengesahkan perkara itu, Anwar berkata, proses pelantikan TYT adalah termaktub dalam budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, beliau berkata, nama calon tersebut dikemukakan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepadanya sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu.
“Proses pelantikan TYT adalah dalam budi bicara Yang di-Pertuan Agong, dikemukakan oleh Premier (Sarawak) Abang Johari dan saya telah kemukakan calon nama itu pada minggu lalu.
“(Nama tersebut) telah diperkenankan dan (dijangka) akan diumumkan mungkin dalam satu dua hari ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan “The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia”, di sini semalam.
Anwar tidak mendedahkan nama yang dikemukakan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong namun ura-ura sebelum ini ada mengatakan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletakkan jawatannya sebagai Speaker Dewan Negara beberapa hari lalu. – UTUSAN










