PETALING JAYA: Lebih 650,000 penduduk dan kanak-kanak di Gaza keciciran dan tidak menerima sebarang bentuk pendidikan sejak konflik antara Hamas-Israel meletus pada 7 Oktober lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, dengan keadaan hampir 90 peratus banggunan yang musnah akibat serangan Israel, menjadikan penduduk di Gaza sangat sukar untuk menerima pendidikan.
“Ketika ini, keadaan di Gaza masih belum stabil, jadi keperluan utama yang difikirkan adalah untuk kekal hidup.
“Berdasarkan sumber daripada UNICEF, masih belum ada sebarang bentuk pendidikan yang dijalankan setakat ini,” katanya
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan bedilan bom, kebuluran, kesejukan, keletihan dan penyakit berjangkit kini menjadi ancaman utama kira-kira 2.3 juta rakyat Palestin di Gaza yang keadaannya semakin hari semakin kritikal.
Lebih memilukan, semakin ramai rakyat Palestin di keseluruhan wilayah tersebut kini terpaksa memasak daun dan rumput untuk mengisi perut disebabkan bekalan makanan terhad untuk dikongsi bersama ahli keluarga.
Bukan itu saja, musim sejuk mencecah 16 darjah Celcius juga menyebabkan ramai warga emas yang terpaksa tinggal di khemah plastik nipis meninggal dunia kerana tidak mampu bertahan cuaca ekstrem.
Jismi berkata, walaupun perang di Gaza berakhir, ia tetap akan mengambil masa panjang untuk memulakan semula sesi pembelajaran disebabkan banyak keperluan lain yang perlu diutamakan seperti pembangunan, kesihatan dan perubatan.
“Memandangkan 44 peratus penduduk Gaza sekarang di ambang kebuluran, maka keperluan utama tetap makanan. Ini menyebabkan pendidikan jatuh kepada keperluan sekunder, tetapi tidak dilupakan,” katanya.
Dalam pada itu Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk membina sekolah sementara selepas perang berakhir.
“Apabila perang berakhir, MCM sudah merancang untuk mendirikan sekolah sementara, kepada pelajar Palestin, sama ada dalam bentuk khemah atau kontena kerana banyak sekolah yang musnah akibat dibom,” katanya
Setakat ini melalui laporan harian mengenai kesan pencerobohan Israel di Palestin setakat 2 Januari yang diperoleh Utusan Malaysia mendapati sebanyak 21,978 rakyat Palestin maut iaitu 21,978 (Gaza) dan 323 (Tebing Barat).
Daripada jumlah tersebut sebanyak 8,663 kanak-kanak maut, wanita (6,200) dan warga emas (695). – UTUSAN










