PETALING JAYA: Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann mengakui tidak memandang rendah keupayaan skuad Harimau Malaya dan bersedia menurunkan barisan terkuat bagi memburu mata berharga.
Jelasnya, skuad kendalian Kim Pan Gon menunjukkan peningkatan yang bagus pada perlawanan kedua ketika menentang Bahrain selepas tewas kepada Jordan.
“Sejujurnya saingan dalam Kumpulan E sangat mencabar dan sengit. Kami akan hadapi perlawanan sukar menentang Malaysia dan menghormati mereka.
“Kami tahu tentang keupayaan Malaysia dan melihat permainan mereka. Ia akan menjadi satu lagi perlawanan sukar sama seperti menentang Jordan sebelum ini.
“Malaysia menunjukkan peningkatan dan mempelajari perlawanan pertama dengan bagus. Pada aksi kedua mereka beraksi sangat baik dan itu bakal memberi kesukaran kepada kita,” kata bekas jurulatih Jerman itu pada sidang media pra perlawanan, Korea Selatan menentang Malaysia, semalam.
Korea Selatan memulakan kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Bahrain sebelum hampir dikejutkan Jordan 2-2 pada aksi kedua Kumpulan E dan berharap mampu mencatat kemenangan ke atas Malaysia pada perlawanan terakhir hari ini untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Dalam pada itu, penjaga gol Korea Selatan Jo Hyeon-woo mengakui motivasi pemain berada di tahap terbaik dan dia turut mengingatkan rakan sepasukannya supaya berwaspada dengan ancaman daripada skuad Harimau Malaya.
“Kami sangat bersemangat dan berada dalam keadaan positif. Seperti jurulatih beritahu, perlawanan esok (hari ini) tidak mudah.
“Jadi kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental yang baik untuk mendapat keputusan yang sepatutnya (menang),” ujarnya. – UTUSAN