ALOR SETAR: Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung saman fitnah berkaitan pembelian sebuah kereta mewah, empat tahun lalu.
Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan pihak plaintif iaitu Muhammad Sanusi telah berjaya membuktikan tuntutannya terhadap defendan dan membenarkan tuntutan yang dibuat plaintif.
Kes itu berkaitan hantaran dimuat naik Mahfuz di Facebooknya iaitu ‘Komen Politik Semasa’ yang mengandungi fitnah terhadap Muhammad Sanusi berkaitan pembelian Toyota Vellfire menggunakan dana Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk kegunaan peribadi, pada 17 Oktober 2020.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu diperintahkan membayar ganti rugi am berjumlah RM200,000 dan ganti rugi tauladan sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM30,000.
Mahkamah turut memerintahkan Mahfuz membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi yang perlu diterbitkan di sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.
Permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akaun Facebook milik bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu dan terma permohonan maaf hendaklah disemak dan dipersetujui oleh plaintif.
Mahfuz turut diperintah menarik balik hantaran Facebook dan video yang dimuat naik pada tarikh itu dan dilarang memuat naik atau menyiarkan apa-apa kenyataan atau video atau kandungan media atau apa-apa bentuk yang mengandungi maklumat atau kandungan yang serupa atau menyentuh isu yang sama atau berkaitan.
Mahkamah juga mengarahkan perintah injuksi kekal bagi menghalang defendan atau mana-mana pihak daripada memuat naik, menyiarkan dan menerbitkan apa-apa kenyataan dalam apa juga bentuk yang mengandungi maklumat dan kandungan yang serupa.
Hakim Dr. Arik Sanusi dalam penghakimannya menjelaskan bahawa kesemua kenyataan Mahfuz kononnya Muhammad Sanusi membeli Toyota Vellfire untuk kegunaan peribadi adalah bersifat fitnah dan berniat jahat terhadap Menteri Besar Kedah itu.
Muhammad Sanusi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff; Wan Rohimi Wan Daud; Mohd. Faizi Che Abu dan Adam Luqman Amdan sementara Mahfuz diwakili Muhammad Faiz Fadzil dan Faizal Abdullah. -UTUSAN