Kes anak Siew Hong boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan

Kes anak Siew Hong boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan

Ibu tunggal, Loh Siew Hong dan peguamnya, J. Gunamalar ketika hadir untuk pendengaran rayuan berhubung status pengislaman tiga anaknya yang ditukar agama secara unilateral di Mahkamah Rayuan, Putrajaya Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan mahkamah berhubung status agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong diilihat bukan penamat kerana kes itu tetap boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan.

Oleh hal yang demikian, umat Islam tidak perlu merasakan undang-undang tercabar kerana perkara itu melibatkan tafsiran Perlembagaan yang bukan di bawah bidang kuasa syariah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengamal Undang-undang, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Mahkamah Rayuan ketika ini terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semasa kes penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, Mahkamah Persekutuan tidak terikat dengan keputusannya sebelum ini, maka boleh menentukan sama ada mahu mengikut kes Indira atau buat keputusan yang bertentangan.

Menurutnya, ini kerana Mahkamah Persekutuan tidak terikat dengan bidang kuasanya sendiri, tetapi mahkamah lebih rendah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Dalam kes Indira Gandhi di Mahkamah Persekutuan sebelum ini, berlaku perbezaan tafsiran atau pihak-pihak ketika itu berbeza tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan iaitu agama seorang anak sama ada ditentukan oleh kedua ibu bapa atau sama ada ibu atau bapa memadai.

“Ia disebabkan berlaku perbezaan tafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris, ia menggunakan perkataan parent tanpa ‘s’ dan dalam versi bahasa Melayu pula menulis ibu atau bapa.

“Dalam versi bahasa Inggeris, perkataan parent tanpa ‘s’ itu dihujahkan bahawa dia boleh juga sama ada ibu atau bapa sebab tiada ‘s’, tetapi sisi lain pula dihujahkan tidak mungkin (hanya) seorang boleh menjadi parent, sebab secara hakikatnya terdiri daripada seorang ibu dan bapa.

“Akhirnya Mahkamah Persekutuan buat keputusan bahawa parent itu adalah kedua-dua ibu dan bapa mesti secara bersama menentukan agama anak, maka menolak tafsiran ibu atau bapa seperti mana versi bahasa Melayu atau dari segi falsafah Inggeris walaupun parent tanpa ‘s’ ia tetap meliputi kedua-dua ibu dan bapa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, media melaporkan, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wanita terbabit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairul Azam berkata, keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin juga tidak mempunyai kaitan dengan perundangan Islam yang semakin longgar kerana ia berkaitan dengan tafsiran Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, mahkamah syariah tidak ada kuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan. Keduanya, sebab ruang masih terbuka untuk diperdebatkan kembali sama ada (tafsiran) parent itu mesti terdiri ibu bapa atau memadai salah seorang.

“Sebab boleh jadi bapa meninggal, maka takkan kena dua-dua juga, jadi ada hujah dari segi falsafah dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN