Kerajaan belum bincang RUU penggal tetap Parlimen

Kerajaan belum bincang RUU penggal tetap Parlimen

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Peluncuran Program 'Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat' di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kerajaan belum membincangkan terhadap cadangan rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen yang bertujuan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih terlalu pramatang atau awal untuk membincangkan kerana cadangan itu memerlukan pandangan pelbagai pihak termasuk Peguam Negara.

Bagaimanapun Anwar berkata, beliau bersedia untuk membincangkan berhubung hasrat menggubal undang-undang tersebut.

“Tapi terlalu pramatang untuk kita putuskan sebelum mendengar komen Peguam Negara. (Masih) belum ada konsensus dalam kalangan pemimpin kerajaan Perpaduan Madani.

“Jadi saya fikir ia perlu melalui proses. Jika ada cadangan, kita akan teliti, tapi ia bukan keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program ‘Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat’ di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan RUU penggal tetap Parlimen perlu diwujudkan agar pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum seterusnya diadakan.

Beliau yang menyarankan perkara itu berkata, langkah itu juga dapat menjamin kestabilan negara memandangkan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Penetapan penggal Parlimen bermaksud tarikh pembubaran Parlimen ditetapkan undang-undang di mana Dewan Rakyat tidak boleh dibubarkan sebelum tarikh ditetapkan undang-undang.

Mengulas cabaran undi tidak percaya, Anwar berkata, pembangkang tiada asas kukuh berbuat demikian ekoran percaturan Langkah Dubai kononnya bagi menjatuhkan kerajaan.

Katanya, pihaknya bersedia menghadapi perkara itu jika pembangkang ada asas yang kukuh untuk mengemukakan usul undi tidak percaya.

“Saya tidak pernah fikir perkara itu sebagai satu serius. Ini hanya uar-uar pembangkang yang terdesak.

“Seperti mana sebut Langkah Dubai, saya tiada komen. Kalau ada kukuh, kita terpaksa memperakui, tapi ini tiada asas,” katanya.

Minggu lalu, beliau mencabar pembangkang untuk membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat jika mahu menumbangkan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Perpaduan sudah memberi peluang kepada usul tidak percaya dibuat namun langkah tidak pernah dilakukan pembangkang sejak setahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN