PETALING JAYA : Beberapa kenderaan mewah milik bekas setiausaha politik bekas menteri dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dipercayai hasil meminta serta menerima suapan daripada beberapa syarikat yang mendapat tender di sebuah kementerian.
Semua kenderaan yang disita terdiri daripada Rolls Royce Ghost V12 Ewb, Mercedes-Benz G63 Amg Brabus, Range Rover Autobiography, Porche Cayenne, Toyota Land Cruiser, Mini Cooper Works Rhd, Toyota Alphard dan Vellfire serta Mercedes-Benz S400L.
Satu sumber mendedahkan, kesemua kenderaan mewah itu kini disimpan di Gudang Sita SPRM.
“Dipercayai kenderaan kenderaan mewah ini adalah hasil daripada sumber rasuah yang diperoleh oleh suspek bersangkutan dengan tender di kementerian terbabit,” katanya di sini.
Sumber itu berkata, mereka dipercayai menerima suapan daripada syarikat dan kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.
“Sepanjang tempoh siasatan, SPRM menyita dan merampas beberapa buah kenderaan mewah yang dimiliki suspek,” katanya.
Dalam pada itu, tempoh tahanan reman kedua-dua suspek disambung tiga hari lagi sehingga 30 Januari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tempoh reman dilanjutkan terhadap dua suspek berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya. – UTUSAN










