Kebun sayur warga asing, kuasai pasaran Lembah Klang

Kebun sayur warga asing, kuasai pasaran Lembah Klang

PEMANDANGAN dari udara kebun sayur yang diusahakan oleh warga asing di atas tanah seluas kira-kira 2,585.4 hektar di Kampung Johan Setia, Klang. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Selepas membina pe­nem­patan haram dan dijadikan sebagai kampung halaman sen­diri di Setia Alam, Shah Alam; kini warga asing meneroka pula ribuan hektar tanah sebagai kawasan penanaman sayur-sayu­ran di Johan Setia, dekat sini.

Keluasan tanah pertanian yang dipercayai mencecah kira-kira 2,585.4 hektar di Kampung Johan Setia itu mampu mengeluarkan bertan-tan sayur setiap hari dan dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Antara sayur-sayuran yang ditanam ialah bayam, bayam merah, kangkung, peria, timun, keladi, pisang, serai, kunyit, labu dan buah melon yang dijual kepada peraih bermula RM2 sekilogram.

Kebun-kebun didakwa dikuasai majoriti warga Bangladesh itu mempunyai ekosistemnya sendiri seperti mem­punyai peraih yang datang pada waktu berjadual dan memiliki rekod transaksi jualan yang ditulis dalam bahasa ibunda mereka.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Mokhtar mendedahkan, ekosistem yang dijalankan oleh warga asing tersebut termasuklah menukar jenis tanaman pada setiap kali tuaian untuk memastikan kesuburan tanah.

Menurutnya, kewujudan kebun tersebut bukan perkara baharu kerana diserahkan kerajaan negeri suatu ketika dahulu untuk mengatasi masalah kekerapan hutan terbakar sehingga menyebabkan jerebu.

“Kemudian kerajaan negeri benarkan kawasan itu diteroka penduduk kampung untuk mengusahakan pertanian. Saya percaya tanah itu milik kerajaan sebab tiada geran diberikan kepada penduduk.

“Bagaimanapun, selepas bertahun-tahun, pertanian itu tidak lagi diusahakan menyebabkan warga asing terutama dari Bangladesh mengambil alih dan mengusahakannya dengan pelbagai tanaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Ismail mendedahkan terdapat tanah yang sengaja diberikan kepada warga asing untuk diusahakan dengan kadar sewa RM5,000 hingga RM6,000 setahun.

“Banyak beratus-ratus lot tanah diusahakan dahulu untuk tujuan pertanian. Tetapi, sekarang ada yang ‘disewakan’ kepada warga asing dan pengusaha asalnya mengambil untung atas angin.

“Pada waktu pagi dan petang, akan nampak banyak kenderaan kebun seperti pacuan empat roda dan van datang dipercayai peraih untuk datang ambil bekalan sayur-sayuran di situ. Situasi tersebut juga menyebabkan kami sebagai penduduk bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan kampung,” luahnya.

Jelas seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Mokhtar memberitahu, kegiatan warga asing di kampung berkenaan dilihat seolah-olah wujud rangkaian bekalan sayur-sayuran yang besar dalam kalangan mereka.

“Percayalah, mereka memang boleh bertutur dalam Bahasa Melayu, bukan setahun atau dua tahun buat kerja. Sudah lebih 10 tahun. Bekalan sayur datang dari kebun di situ bukan seikat dua, tetapi boleh dikatakan bertan-tan.

“Disebabkan itu juga, memang ramai warga asing dekat Kampung Johan Setia. Cuma sekarang kita tak nampak sebab kebun tersebut terletak jauh ke dalam dari jalan utama. Mereka pun tinggal dekat dalam kawasan kebun macam rumah kongsi,” jelasnya.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut menemukan pelbagai jenis tanaman yang ditanam dekat lot-lot tanah berasingan. Malah, laluan masuk setiap lot tersebut ditutupi dengan pintu diperbuat daripada kayu dan zink untuk elak daripada diceroboh.

Rata-rata warga Bangladesh yang ditemui mendakwa mereka tidak fasih bertutur dalam Bahasa Melayu selain mengatakan baru bekerja di kebun tersebut beberapa bulan lalu.

Menerusi tinjauan sama, turut ditemukan buku catatan yang merekodkan transaksi jualan sayur-sayuran yang ditulis dengan tulisan tangan dalam bahasa ibunda mereka.

Sementara pemerhatian di kebun-kebun terbabit juga terdapat sambungan bekalan elektrik dan air bersih dibuat sehingga ke pondok-pondok yang dipercayai menjadi tempat tinggal mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN