Kebajikan nelayan muda diperkasa - Utusan Malaysia

Kebajikan nelayan muda diperkasa

MUHAMMAD Faiz Fadzil (berdiri, dua kanan) menyaksikan majlis menandatangani dokumen MoU antara Ahmad Ramzi Mohamad Zubir (duduk, dua kiri) dan Hamdan Mamat (duduk, dua kanan) untuk membantu golongan nelayan muda di UMT, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) komited memastikan kebajikan golongan nelayan muda terus diperkasa melalui peningkatan ilmu pengetahuan, produktiviti dan kelestarian industri perikanan di Malaysia.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM juga sedang merangka beberapa inisiatif untuk meningkatkan produktiviti nelayan sehingga 30 peratus berbanding kaedah konvensional 25 peratus yang sedang diamalkan sekarang.

Menurutnya, bagi mencapai tujuan itu, LKIM akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu Jaya Holdings Sdn. Bhd. (UMTJ) untuk mempelopori penghasilan ‘Big Data’ bagi membolehkan analisa dan maklumat yang lebih tepat dapat dikongsi dengan semua pihak yang terlibat.

“LKIM dan UMTJ akan memberi fokus terhadap aktiviti berkaitan latihan, pendidikan, perundingan komersial yang melibatkan pelbagai bidang termasuklah marin, maritim, teknologi kejuruteraan, perikanan, pertanian, perhutanan dan pengurusan alam sekitar.

“Maklumat terkini yang tepat dapat memastikan keselamatan nelayan terjamin di samping meningkatkan produktiviti dan hasil tangkapan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LKIM dan UMTJ, di sini, hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat manakala UMTJ pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

MoU tersebut memberi fokus kepada bidang penyelidikan dan pembangunan industri perikanan serta memperkenalkan penggunaan dron dan internet benda (IoT) terutama kepada golongan nelayan muda di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi UMTJ, Datuk Dr. Din Adam berkata, perkongsian antara UMTJ dan LKIM adalah satu lagi langkah ke hadapan bagi memupuk inovasi, penyelidikan dan pendidikan dalam bidang teknologi digital.

“Kerjasama ini juga bertujuan memanfaatkan sinergi antara kepakaran industri dan kecemerlangan akademik, selain memperkasakan pelajar dan profesional untuk berkembang maju dalam era digital yang sentiasa berkembang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya