Kampung Batu Berangkai unik, rumah dikelilingi bongkah batu

Kampung Batu Berangkai unik, rumah dikelilingi bongkah batu

RUMAH penduduk di Kampung Batu Berangkai dikelilingi bongkah batu besar yang dibina berhampiran sungai di Kampar. - UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kampung Batu Berangkai di sini mempunyai keunikan tersendiri, iaitu majoriti kediaman penduduknya dikelilingi bongkah batu besar kerana terletak di kawasan air terjun Hutan Simpan Bujang Melaka.

Ketua Kampung Batu Berangkai, Mior Harris Mior Abdullah, 65, berkata, penduduk yang majoriti Orang Asli suku Semai dan Melayu itu hidup harmoni sejak beratus tahun dahulu.

“Dahulu kami sama-sama memikul papan mendaki bukit untuk membina rumah asas menggunakan papan dan atap rumbia.

“Malah, kami membina rumah tanpa memecahkan atau membakar batu-batu ‘hidup’ ini demi menjaga khazanah alam dan keunikan kampung ini.

“Jangan terkejut kerana ada rumah orang kampung sekelilingnya batu, malah ada yang bersambung dengan bahagian dapur rumah.

“Selain itu, perkahwinan melibatkan Orang Asli suku Semai dan Melayu menyebabkan ikatan persaudaraan kami bertambah kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menariknya, kebanyakan penduduk mencuci pakaian di sungai berhampiran kediaman mereka di kampung yang kepadatan kira-kira 500 orang.

Kampung itu didakwa mendapat namanya kerana lokasi batu Air Terjun Batu Berangkai yang bersifat berangkai dari tanah rendah sehingga puncak Gunung Relau yang ketinggiannya kira-kira 1,243 meter.

Mior Harris menambah, tarikan lain ialah air terjun dan populasi ikan tengas yang banyak.

“Air terjun ini memang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya semasa cuti persekolahan kerana kejernihan airnya.

“Selain itu, sungai di kawasan air terjun ini dipenuhi ikan tengas yang jinak, cuma syaratnya jangan gunakan jala untuk menangkapnya supaya bilangannya tidak berkurangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×