ALOR SETAR: Pesawah mempersoalkan penafian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tentang kewujudan kartel yang didakwa punca berlakunya kekurangan beras putih tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, alasan kekurangan beras tempatan disebabkan kegiatan memborong makanan ruji itu termasuk pihak yang memberi bantuan tidak dapat diterima.
Menurut beliau, jika faktor tersebut disahkan sebagai punca utama ketiadaan beras tempatan di pasaran, kerajaan seharusnya mewujudkan peraturan yang lebih jelas agar kegiatan itu dihentikan bagi memberi laluan kepada pengguna mendapatkan bekalan dengan lebih mudah.
“Tidak semua pengguna berpeluang mengunjungi program-program dianjurkan yang turut menawarkan penjualan beras tempatan, ada yang hanya berbelanja di kedai-kedai berdekatan rumah mereka sahaja.
“Tetapi mengapa kali ini krisis beras tempatan teruk sangat sehingga ada peniaga yang tidak dapat bekalan itu berbanding lambakan beras import yang jauh lebih mahal, ke mana perginya padi yang petani jual,” katanya ketika dihubungi semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan, KPKM tidak akan melakukan audit semula terhadap pemberian 39,000 lesen dan permit bagi urus niaga padi dan beras negara kerana kata Ketua Pengarah Bahagian Pengawalan Padi dan Beras KPKM, Datuk Azman Mahmood berkata, kementerian telah melakukan saringan dan mengenakan syarat ketat kepada pemohon sebelum lesen dikeluarkan.
Menurut beliau, masalah yang sedang berlaku sekarang iaitu bekalan beras tempatan yang didakwa sukar dibeli tidak ada kaitan dengan kartel atau monopoli beras negara.
Sementara itu, seorang pesawah, Mohd. Yatim Ismail, 64, berkata, penguasaan kartel dalam kalangan pesawah bukan perkara baharu sebaliknya telah berakar umbi sejak puluhan tahun lalu.
“Mungkin dahulu orang tidak sebut sebagai kartel kerana ia hanya satu perkataan tetapi kegiatan yang dilakukan mereka sama sahaja seperti dahulu sehingga menyebabkan pesawah terikat sejak proses menanam sehingga menuai padi,” katanya. – UTUSAN










