JPJ Kelantan kutip 9 juta saman

JPJ Kelantan kutip RM9 juta saman trafik

Mohd. Misuari Abdullah memeriksa seorang pemandu kereta dalam Ops Pengarah JPJ di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu. - IHSAN JPJ Kelantan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan mengutip saman trafik kira-kira RM9 juta melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lebih RM8 juta merupakan bayaran saman kompaun dan denda mahkamah mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, denda mahkamah bagi kes Akta Pengangkutan Darat (APAD) 2010 pula dianggarkan berjumlah RM688,000.

“Selain itu, sebanyak 78,271 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pemandu kenderaan sepanjang tahun lalu.

“Kesalahan tertinggi yang dicatatkan adalah tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans sebanyak 29,279 kes, tiada lesen memandu (22,803 kes), kesalahan teknikal (13,621 kes) dan lain-lain kesalahan (12,568 kes),” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Pengarah JPJ di Jalan Kuala Krai, di sini semalam.

Mohd. Misuari memberitahu, pihaknya turut menyita sebanyak 1,067 buah kenderaan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sepanjang tempoh tersebut dan ia merupakan jumlah tertinggi direkodkan berbanding pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, sebanyak 1,508 notis saman dikeluarkan kepada pemandu warga asing selain 432 buah kenderaan pelbagai jenis turut disita pada Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) sepanjang tahun lalu.

“Sehubungan itu, masyarakat di negeri ini diingatkan supaya tidak memberi sewa atau meminjamkan kenderaan mereka kepada warga asing untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan yang boleh didakwa di mahkamah,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya