JKR Kelantan jamin jalan kekal Dabong-Kuala Krai siap sebelum Aidilfitri

JKR Kelantan jamin jalan kekal Dabong-Kuala Krai siap sebelum Aidilfitri

TANGKAP layar laporan Utusan Malaysia berkait pembukaan laluan sementara di Dabong-Jeli berhampiran Kubur Datu yang runtuh akibat banjir awal bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memberi jaminan pembinaan jalan kekal di Dabong-Jeli berhampiran Kubur Datu yang runtuh akibat banjir awal bulan ini akan siap sebelum sambutan Aidilfitri sebagaimana kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pengarahnya Ir. Mohd. Suhaili Ismail berkata, projek tersebut mengalami sedikit kelewatan apabila fasa rekabentuk jalan mengambil masa sehingga dua minggu berikutan kajian tanah perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Menurutnya, fasa reka bentuk jalan diselenggarakn oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) dan konsepnya melibatkan penggantian pembetung ‘Corrugated Metal Pipe’ (CMP) kepada ‘box culvert’.

“Projek berkenaan masih mengikut jadual ditetapkan. Saya dimaklumkan peringkat ujian tanah sudah selesai dan laporan telah dihantar ke CSFJ untuk dianalisa kesesuaian penggunaan ‘box culvert’ di lokasi tersebut.

“Projek bernilai sekitar RM300,000 ini akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi, Roadcare (M) Sdn. Bhd. sepertimana telah diumumkan oleh menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Malam Apresiasi JKR Kelantan 2023 di sini malam tadi.

Mohd. Suhaili memberitahu, kelulusan rekabentuk jalan mungkin akan diperoleh dalam masa seminggu dan proses pembinaannya dijangka tidak mengambil masa yang lama.

“Paling penting adalah penggantian pembetung kerana pembetung CMP sedia ada yang berada tujuh meter ke bawah sudah amat usang dan telah mengalami proses pengaratan. Ia juga didapati kemek dan bocor menyebabkan tanah tersumbat.

“Situasi itu menyebabkan aliran air ketika banjir baru-baru ini tidak memasuki pembetung pada kapasiti sepatutnya sehingga paras air meningkat dan melimpah ke atas jalan. Ia kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di lokasi berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Suhaili berkata, laporan mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan Lata Janggut, Jeli telah diangkat kepada CSFJ untuk mendapatkan peruntukan.

Katanya, tindakan bagi membolehkan kerja baik pulih dimulakan.

“Kami memang komited dan telah mengambil beberapa inisiatif termasuk membawa menteri melawat semua kawasan terjejas banjir sehingga beliau mengumumkan kelulusan peruntukan mencecah RM10.7 juta baru-baru ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia pada 9 Januari lalu melaporkan, pengguna jalan Jeli-Dabong berhampiran Kampung Kubur Datu di sini yang runtuh akibat banjir kembali boleh menggunakan laluan itu apabila jambatan Bailey.

Bercakap kepada Utusan Malaysia Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah Datuk Abdul Hadi Awang Kechik berkata, pembukaan jambatan itu akan memudahkan urusan penduduk dan pengguna laluan tersebut.UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN