PETALING JAYA: Kerajaan digesa untuk campur tangan di dalam isu pengurangan upah penunggang p-hailing oleh sebuah syarikat dan mengambil tindakan untuk membela nasib kumpulan pekerja ekonomi gig tersebut.
Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) dalam kenyataan memaklumkan, penurunan kadar bayaran upah yang dilakukan oleh sebuah syarikat penyelia, Grab baru-baru ini merupakan keputusan terburu-buru tanpa berbincang dengan penunggang p-hailing.
Katanya, Grab juga dilihat seperti tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilakukan pada tahun lalu.
“Pandangan kami selagi tiada akta khusus yang diwujudkan oleh pihak kerajaan berkaitan ekonomi gig p-hailing, isu ini akan terus berlarutan.
“Hanya pihak kerajaan yang boleh merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan ekosistem ekonomi gig p-hailing,” katanya hari ini.
Terdahulu, tular sebuah poster kempen boikot Grab yang dipercayai dilakukan oleh penunggang p-hailing kerana tidak berpuas hati dengan kadar upah baharu yang ditetapkan oleh syarikat tersebut.
Walau bagaimanapun, Grab di dalam satu kenyataan mempertahankan struktur tambang penghantaran dan bonusnya yang baharu kerana ia dilihat lebih memberi manfaat kepada kumpulan pekerja tersebut.
Struktur baharu tersebut menyaksikan tambang asas dikurangkan tetapi insentif diterima penunggang p-hailing dinaikkan semasa penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa menunggu tambahan bagi penghantaran ‘pick-up’.
Mengulas lanjut, PPRPM berkata, kerajaan turut perlu menyegerakan sebuah badan untuk mengawal selia ekonomi gig supaya kebajikan setiap penggiat industri tersebut dapat dijaga dan terjamin.
“Penghantar Malaysia juga mengesa agar pihak kerajaan mengambil langkah jangka pendek mengenai isu terkini yang sedang dihadapi oleh penunggang p-hailing terutamanya berkaitan isu kadar bayaran upah,” katanya. – UTUSAN