Isu pekerja asing Pengerang: 13 kertas siasatan siap

Isu pekerja asing Pengerang: 13 kertas siasatan siap, disemak Timbalan Pendakwa Raya esok

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor menyiapkan 13 kertas siasatan berhubung isu tipu pekerja asing di Pengerang, Johor baru-baru ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kertas siasatan dibuka kerana melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446].

Beliau berkata, kertas siasatan akan disemak oleh timbalan pendakwa raya esok.

“Tindakan susulan akan diambil selepas semakan itu dibuat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dianggarkan 2,500 pekerja asing yang ditipu syarikat serta ejen pekerjaan mereka kini berada di Pengerang, Johor seperti didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain itu, Steven berkata, Mahkamah Buruh akan pergi ke Pengerang pada 5 Februari ini bagi kes sebutan 751 pekerja warga Bangladesh yang menuntut tunggakan gaji terhadap majikan mereka mengikut Seksyen 69 Akta Kerja.

“Kami dimaklumkan 751 pekerja warga Bangladesh memfailkan kes buruh bagi menuntut tunggakan bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM2.21 juta.

“Kebiasaannya kita akan panggil ke Mahkamah Buruh tapi kali ini kita akan laksana sebutan kes tersebut di Pengerang memandangkan kepada kemampuan pekerja asing itu untuk datang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kementerian menegaskan tindakan majikan yang tidak bayar gaji dengan alasan tiada kerja adalah satu kesalahan serius.

“Selepas ini, kita akan anggap pekerja asing masuk ke Malaysia wajib diberi gaji sama ada kerja atau tidak selaras undang-undang dan penghakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2019,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Kerja untuk tidak hanya mengambil tindakan terhadap entiti syarikat tetapi kepada pengurusan syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN