LEBIH tiga dekad mengabdikan diri untuk dunia hiburan, Datuk Awie bukan sekadar legenda Rock disegani, malah pelakon dan usahawan yang amat dihormati.
Pengalaman empunya nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini bernilai dan selayaknya didokumentasikan untuk rujukan pelapis yang menyimpan angan-angan untuk berjaya sepertinya.
Dalam kesempatan ditemu bual barubaru ini, Awie sempat berkongsi sisi pandangan tentang arah tuju kerjaya seninya secara solo atau pun bersama Wings selepas sembilan tahun mendatang.
Jelas beliau, tiada lagi yang hendak dikejarkan, apa lagi mahu membuktikan sebarang pencapaian yang ada padanya, hampir semua dirasakan sebelum ini.
Awie memberi bayangan, selepas sembilan tahun mendatang, dia mungkin sudah bersedia meninggalkan dunia seni tanah air untuk meniti kehidupan yang lebih bahagia dan bermakna.
“Wings menyasarkan untuk aktif dalam sembilan tahun lagi, jadi buat masa ini fokus kami adalah menjaga kesihatan masingmasing dan terus berkarya untuk peminat. Sembilan tahun bukan tempoh sekejap.
“Bila sudah semakin berusia, saya tidak lagi mahu beria-ia mengejar tawaran persembahan, hanya mengintai ruang untuk bersara, mahu besarkan keluarga, melihat anak meningkat dewasa dan mencari kestabilan hidup.
“Tiada apa lagi yang saya kejarkan. Harta dunia bukan lagi keutamaan. Mungkin kelak kami hanya mahu kongsi pengalaman dengan generasi akan datang,” katanya.

BUKAN TOLAK REZEKI
REZEKI lakonan untuk penyanyi berusia 55 tahun ini tidak pernah putus. Pada masa sekarang, Awie kekal menjadi pilihan penerbit dan terus dihujani tawaran lakonan.
Bukan menolak rezeki, tetapi beliau merasakan sudah tiba masanya memperlahankan kerjaya lakonan untuk memberi ruang dan peluang kepada pelakon baharu mewarnai dunia drama dan perfileman.
“Ada tiga empat filem, termasuk beberapa telemovie yang terpaksa saya tolak. Tak mampu untuk saya penuhi dengan kesibukan membuat persembahan bersama Wings dan sebagainya.
“Fokus saya buat masa ini adalah bersama Wings. Saya tak mampu hendak tinggalkan nyanyian demi lakonan kerana ia akan memberi kesan kepada mutu suara dan tenaga saya.
“Tumpuan saya lebih kepada nyanyian dan sentiasa mahu membuat latihan supaya vokal saya sentiasa bersedia menjelang konsert dan persembahan,” ujarnya.
Kata Awie lagi, keinginannya untuk berlakon tidak seperti dulu. Justeru, tawaran lakonan juga bukan lagi perkara yang dikejar-kejarkan.
“Bila sutradara Mamat Khalid meninggal dunia, saya rasa watak yang sinonim dengan saya iaitu Husin juga pergi bersamanya. Hubungan saya dengan arwah dan tenaga produksi Zombie Kampung Pisang serta Hantu Kak Limah erat ibarat keluarga.
“Mungkin bukan lagi untuk saya bekerja di bawah produksi lain, sekali lagi mencari keserasian dengan sekumpulan tenaga kerja baharu. Tanpa keserasian, saya khuatir tak dapat berlakon dengan baik.
“Dalam masa sama, penggambaran filem atau drama bukan proses mudah. Terlalu banyak faktor yang mungkin membuatkan saya sudah kurang berminat berlakon dengan produksi lain. Kalau pun ada keinginan untuk itu (berlakon), biarlah saya teruskan di bawah syarikat produksi saya sendiri iaitu Rumah Produksi Merah (RPM),” kongsinya.

SEDIA BERKONGSI PENGALAMAN
SEBAGAI artis senior, Awie tentunya berharap untuk melihat industri seni tempatan berkembang dan terus maju kehadapan.
Disebabkan itu, beliau mengalu-alukan golongan pelapis dunia seni datang kepadanya untuk menimba ilmu.
“Saya sedia berkongsi pengalaman dengan generasi baharu yang pada saya hampir majoritinya berpendidikan tinggi dalam muzik. Ramai yang berkelana ke luar negara, belajar muzik dan hal ehwal berkaitan dunia hiburan. Tapi mungkin mereka tak tahu bagaimana nak bermula.
“Datanglah kepada saya atau kepada rakan-rakan wings yang lain untuk timba ilmu.
“Pengalaman yang kami miliki sekurang-kurangnya boleh membantu generasi baharu untuk memulakan kerjaya. Kami tidak belajar di universiti, tetapi kami ada pengalaman untuk dikongsikan,” kongsinya.

DEMI PERSAHABATAN
ANTARA sifat Awie yang wajar diteladani adalah sikapnya yang menghargai nilai persahabatan, susah senangnya bersama kawan-kawan.
Kata Awie, dia tidak sesekali membelakangkan anggota Wings yang lain demi kesenangan sendiri.
“Di belakang saya ada barisan anggota Wings yang masing-masing berkeluarga, ada anak dan isteri untuk disara. Kalau saya ambil kerja berlakon, maka tiadalah persembahan dari Wings. Kawan-kawan saya nak makan apa?
“Kalau saya pentingkan diri, nak senang sendiri, dah lama saya dahulukan tawaran solo, tak kiralah menyanyi atau berlakon. Saya ada kawan-kawan yang perlu saya jaga.
“Sikap penting diri akan membuatkan kita hilang sahabat. Saya tak mahu itu berlaku, justeru saya dahulukan komitmen bersama Wings,” katanya.
Kongsi Awie lagi, tiada yang lebih utama buat masa ini selain meneruskan Wings yang sekarang ini, rancak dihujani tawaran membuat persembahan.
“Saya rela lepaskan persembahan solo, meskipun tawaran itu lumayan habuannya. Biarlah saya dahulukan Wings.
“Ini bukan kerana nak jaga hati sesiapa, tapi lebih kepada menjaga rakan yang seperti saya, perlu mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Rezeki yang ada kami kongsi bersama,” jelasnya









