GEORGE TOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor meminta orang ramai tidak memanjangkan isu berkaitan permohonan maaf beliau kepada artis popular negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Wan Salim meminta semua pihak agar berbaik sangka sesama manusia kerana tidak ada manusia yang sempurna selain Rasulullah SAW.
”Ramai memberi komen menyatakan saya tidak perlu mohon maaf kepada Siti Nurhaliza kerana menegur beliau secara terbuka dalam isu konsert yang akan berlangsung pada tarikh yang amat hampir dengan bulan Ramadan.
”Bagi mereka, apa yang saya tegur itu betul, oleh itu saya tidak perlu meminta maaf. Tidak salah pun untuk mufti meminta maaf kepada artis atau kepada sesiapa sahaja kerana kita manusia biasa, tidak maksum,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, media melaporkan, Siti Nurhaliza akan meneruskan penganjuran konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ yang dijadualkan berlangsung 9 Mac ini iaitu ketika umat Islam hampir menyambut Ramadan.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan teguran Wan Salim supaya Siti Nurhaliza menunda tarikh konsert bagi menghormati ketibaan Ramadan.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, pada pandangan manusia, mufti lebih baik daripada artis, namun setiap insan tidak tahu bagaimana kedudukan mereka di sisi Allah. – UTUSAN










