PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya fokus kepada permasalahan rakyat, bukan ‘membalas dendam’ dengan mengungkit rekod lampau yang berkaitan dengan beberapa orang kenamaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas pemimpin PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, meskipun tidak lagi aktif dalam politik, beliau masih memerhati setiap perkembangan yang berlaku khususnya isu berkaitan dengan perihal rakyat.
“Kerajaan yang ada sekarang tidak mampu menangani masalah rakyat, berkecamuk dengan isu moral yang agak luar biasa, tidak pernah terjadi dalam kerajaan-kerajaan lalu.
“Tidak fokus untuk mentadbir, masa habis tertumpu kepada isu saman menyaman, laporan polis, korek-korek isu lampau,” katanya semalam.
Kenyataan Zuraida itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan terhadap beberapa pemimpin politik termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pemimpin lain seperti Tun Daim Zainuddin.
Bagaimanapun, beliau percaya, segala permasalahan tersebut dapat diselesaikan jika kerajaan dan pihak berkaitan dapat mengetepikan sifat dendam dan dengki demi kepentingan semua pihak.
Dalam pada itu, Zuraida turut mendedahkan beliau mendapat tawaran untuk menyertai parti politik lain setelah keluar daripada Parti Pribumi Malaysia (PBM).
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan parti politik mana yang memberi tawaran berkenaan, malah belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
“Saya aktif memperhatikan gelagat politik semasa, walaupun saya belum menyertai mana-mana parti,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Ampang itu antara 10 ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah meninggalkan parti tersebut untuk menyertai Bersatu pada akhir Februari 2020.
Dikenali sebagai Langkah Sheraton, tindakan Zuraida bersama sembilan lagi ahli Parlimen PKR menyaksikan PH yang mendapat mandat daripada pengundi untuk menjadi kerajaan pada 2018 dijatuhkan di luar pilihan raya.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keputusannya meninggalkan Bersatu dan menyertai PBM tidak lama kemudian.
Susulan itu, PKR telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
Mahkamah Tinggi kemudiannya, membenarkan saman PKR untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zuraida berkata, sesi rayuan akan bermula pada Julai tahun ini. – UTUSAN











