PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras dalam serbuan di sebuah gudang di kawasan perindustrian di Mantin, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.
Serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Polis Marin (PPM) bersama Unit Gempur Marin (Ungerin) Markas Operasi PPM Wilayah 1 Pelabuhan Klang.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya membuat rampasan dianggarkan bernilai RM18.2 juta.
“Rampasan melibatkan 60,900 karton rokok putih, 9,780 karton rokok kretek, 23,520 tin minuman keras selain sebuah lori bonded, forklif dan palet.
“Dua lelaki ditahan termasuk seorang warga asing untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazani berkata, pihaknya komited dalam membanteras penyeludupan kontraban bagi memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada ketirisan.
Jelasnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya. – UTUSAN