ALOR SETAR: Empat nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika leka mengangkat bubu naga di tiga lokasi berbeza pada kedudukan 6.7 batu nautika, Barat Daya Tanjung Dawai, dekat sini petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua lelaki berusia 25 hingga 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 petang dalam operasi khas bersama Jabatan Perikanan Malaysia.
“Pemeriksaan terhadap tiga bot dinaiki mereka menemukan sebanyak 43 set bubu naga yang baru saja diangkat ke atas bot. Kita turut merampas kesemua peralatan digunakan termasuk tiga bot berserta enjin yang keseluruhannya bernilai RM124,680.
“Individu serta barangan dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) dan 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Azreyanti berkata, sebanyak 121 unit bubu naga turut dirampas di lima lokasi berasingan di pesisir Teluk Sungai Pial.
“Bubu kambang atau bubu naga telah diharamkan penggunaannya berikutan sifatnya yang tidak selektif dengan memerangkap serta mengancam hidupan laut lebih kecil termasuk benih udang.
“Tindakan itu merosakkan ekosistem dasar laut negara sekali gus mengancam sumber perikanan negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dengan menghubungi talian 04-7310579. -UTUSAN