Empat lelaki leka berjudi di bilik karaoke ditahan - Utusan Malaysia

Empat lelaki leka berjudi di bilik karaoke ditahan

DUA daripada empat lelaki yang ditahan ketika berjudi di dalam.bilik karaoke di sebuah pusat hiburan di Kuala Terengganu, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki Melayu yang sedang leka berjudi di dalam bilik karaoke sebuah premis hiburan ditahan ketika diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, malam tadi.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, mereka yang berumur lingkungan 45 hingga 60 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, mereka memberi alasan baru sampai di bilik karaoke itu untuk berhibur dan menyanyikan beberapa lagu.

“Bagaimanapun, siasatan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa JHEAT telah menemukan sejumlah wang dan daun terup yang dipercayai digunakan mereka untuk berjudi.

“Sehubungan itu, wang tunai dan daun terup itu disita manakala kesemua lelaki tersebut dibawa ke JHEAT untuk siasatan selanjutnya sebelum dilepaskan dengan bon jaminan hadir ke mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Seramai 14 anggota anggota penguat kuasa JHEAT terlibat dalam operasi mencegah jenayah syariah di empat premis karaoke sekitar pusat bandar raya ini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keempat-empat lelaki tersebut ditahan di bawah seksyen 22(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001.

“Jika disabitkan kesalahan, kesemua lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT akan memperkasakan lagi operasi-operasi seumpama itu untuk mencegah penduduk negeri ini melakukan kesalahan jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya