Dua termasuk kanak-kanak maut kereta dihempap lori - Utusan Malaysia

Dua termasuk kanak-kanak maut kereta dihempap lori

Dua maut
PASUKAN Bomba berusaha mengeluarkan mangsa dalam sebuah kereta Perodua Bezza yang dihempap sebuah lori pasir dalam kejadian kemalangan dekat Jalan Banting - Dengkil, Sungai Manggis, Banting di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dihempap sebuah lori dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga kereta lain dekat Jalan Banting – Dengkil di Sungai Manggis di sini, pagi tadi.

Kemalangan terbabit melibatkan sebuah lori pasir yang dikatakan melanggar empat buah kereta lain iaitu Honda City berwarna perak dan kelabu gelap, Perodua Myvi berwarna merah serta sebuah lagi kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.03 pagi tadi sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Teluk Panglima Garang ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bomba mengesan lori terbabit menghempap kereta terbabit yang dipercayai terbabas ke dalam parit di tepi jalan berkenaan.

“Lori menghempap kereta Perodua Myvi dan terdapat tiga orang mangsa di dalam kereta tersepit. Seorang mangsa masih hidup dan dua mangsa lagi tidak sedarkan diri. Ketiga-tiga mangsa adalah perempuan dianggarkan berusia 20-an, 40-an dan kanak-kanak 10 tahun.

“Wanita berusia 40-an dan kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM). Sementara wanita berusia 20-an itu mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, ketika operasi menyelamat, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan antara pukul 8.45 hingga 9.45 pagi.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Banting, sementara mangsa yang meninggal dunia dibawa ke unit forensik untuk tindakan selanjutnya.

Sementara Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh ketika dihubungi memaklumkan polis belum menerima laporan mengenai kemalangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya