Dua maut akibat lori hilang kawalan - Utusan Malaysia

Dua maut akibat lori hilang kawalan

Lori
PASUKAN penyelamat mengeluarkan kereta yang terseret ke dalam parit selepas dilanggar sebuah lori yang didakwa hilang kawalan dalam kejadian kemalangan membabitkan lima kenderaan dekat Jalan Banting - Dengkil, Sungai Manggis di Kuala Langat, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kemalangan yang membabitkan lima buah kenderaan pada awal pagi tadi di Jalan Banting – Dengkil, Sungai Manggis, di sini sehingga menyebabkan dua termasuk seorang kanak-kanak maut disahkan berpunca daripada sebuah lori yang hilang kawalan.

Lori terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Banting ke Dengkil tiba-tiba hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek di lokasi kemalangan lalu bertembung dengan empat buah kereta iaitu Proton Pesona yang berada di bahagian hadapan, Honda City, Nissan Almera dan Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh dalam satu kenyataan berkata, kereta Perodua Myvi yang dipandu wanita maut itu diseret ke dalam parit sebelum termasuk ke bawah lori berkenaan.

Pemandu serta penumpang hadapan dan penumpang belakang Perodua Myvi yang dilanggar lalu diseret ke dalam parit sebelum termasuk ke bawah lori jenis Nissan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Dalam kemalangan ini, pemandu motorkar Perodua Myvi merupakan seorang perempuan tempatan berumur 43 tahun dan penumpang hadapan iaitu satu kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala penumpang belakangnya mengalami kecederaan ringan,” katanya, hari ini.

Beliau menambah, pemandu kenderaan lain yang terlibat termasuk lori terbabit tidak mengalami kecederaan. Bagaimanapun pemandu lori tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

Jelas Ahmad Ridhwan, lori berkenaan akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Banting untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. Saksi bebas yang melihat kemalangan ini berlaku atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian kemalangan ini bolehlah menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman (Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat) di talian 017-3012621 atau 03-31872222,” ujarnya.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan dua termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dihempap sebuah lori dalam kejadian kemalangan melibatkan empat kereta lain di sana.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 7.03 pagi tadi sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Teluk Panglima Garang ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bomba mengesan lori terbabit menghempap kereta terbabit yang dipercayai terbabas ke dalam parit di tepi jalan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya