Dua lelaki aktif samun berkumpulan di ruang mesin ATM ditahan

Dua lelaki aktif samun berkumpulan di ruang mesin ATM ditahan

AHMAD Sukarno Mohd. Zahari (tengah) menunjukkan barang rampasan yang digunakan penjenayah dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang bergiat aktif dalam kegiatan samun berkumpulan di ruangan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar ibu negara dan Perak.

Kedua-dua suspek berusia 38 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Sentul di Perak dan Pahang pada Selasa dan Ahad, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan polis diterima pihaknya kira-kira pukul 12.09 tengah malam pada 28 Disember lalu daripada lelaki berusia 30 tahun berkaitan kejadian samun mendatangkan kecederaan di ruang mesin ATM di sebuah bank di Kepong.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 8 malam, 27 Disember lalu apabila pengadu yang bertugas di dalam kawasan ruang mesin ATM telah menegur suspek yang memakai topi keledar ketika memasuki bank tersebut.

“Suspek tiba-tiba bertindak mengacukan sebilah pisau pemotong ke arah pengadu sehingga berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dipukul dengan hulu pisau.

“Suspek kemudian mengarahkan pengadu untuk berdiam diri dan suspek bertindak merompak tiga lagi lelaki tempatan yang berada di ruang mesin ATM ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Sukarno, suspek kemudiannya melarikan diri dengan membonceng sebuah motosikal bersama seorang lagi rakannya yang berada di luar premis bank tersebut.

Jelas beliau, akibat dari kejadian tersebut, pengadu telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala.

“Susulan daripada itu, kita telah menahan kedua-dua suspek di kediaman mereka di Perak dan Pahang.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, dua pasang pakaian yang dipakai ketika kejadian, dua topi keledar, sebuah motosikal serta sebilah pisau,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan samun berkumpulan.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes di Kuala Lumpur dan 28 kes di Perak.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kes ini diminta menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya