PETALING JAYA: Kerajaan berusaha untuk memastikan semua rakyat akan mendaftar dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) termasuk menyediakan kemudahan internet untuk tujuan itu di pedalaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan badan-badan berkaitan bagi menjalankan misi itu.
Menurutnya, kerjasama dengan penghulu kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti dan pusat perkhidmatan wakil rakyat akan dibuat bagi melancarkan program khas untuk membantu rakyat yang mengalami kesukaran mendaftar.
“Kita juga akan bawa kemudahan internet kepada mereka, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti sesetengah kawasan di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, kita juga membawa fasiliti bergerak bagi membantu memberi penerangan kepada pihak industri dan pekerja mereka yang mungkin tidak mempunyai kesempatan dan tidak mengetahui langsung tentang sistem PADU ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berharap wakil rakyat juga membantu memberi bimbingan kepada penduduk di kawasan masing-masing mengenai PADU.
PADU yang dilancarkan 2 Januari lalu dilaporkan tidak mesra pengguna dan terlalu rumit untuk diisi terutama warga emas dan penduduk di pedalaman.
Mohd. Uzir berkata, perlu difahamkan, sistem PADU diwujudkan bertujuan memastikan tiada siapa pun keciciran dalam pemberian inisiatif kerajaan.
Justeru, jelas beliau, butiran lengkap amat diperlukan bagi mengisi maklumat diri dalam sistem itu.
Tarikh akhir untuk mendaftar PADU adalah pada 31 Mac ini dan berikutan itu, Mohd. Uzir menyarankan mana-mana pihak yang sudah memahami kelebihan sistem itu agar melengkapkan maklumat peribadi dengan secepat mungkin.
Setakat ini, sejumlah 1.54 juta rakyat Malaysia termasuk di bawah umur 18 tahun sudah mendaftar diri dalam PADU. – UTUSAN










