Diperdaya penganjur, Najmi Niery masuk lokap di Indonesia

Diperdaya penganjur, Najmi Niery masuk lokap di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi baru, Najmi Niery, lega kerana hajatnya untuk mengadakan showcase bersama peminat akhirnya terlaksana Sabtu lepas.

Showcase yang sepatutnya diadakan pada November tahun lalu itu ditangguhkan kerana penyanyi itu ditahan dalam lokap gara-gara diperdaya penganjur sebuah konsert di Makassar, Indonesia. 

“Saya dan beberapa pemuzik terbang ke Makassar bagi memenuhi undangan persembahan, iaitu dua hari sebelum showcase Dekati saya di Malaysia. 

“Sebelum bertolak, pihak penganjur memaklumkan semua dokumen sudah dilengkapkan. 

“Namun, ketika menyanyikan lagu terakhir, tiba-tiba ada tulisan muncul di prompter ‘sila turun dari pentas, disuruh pihak imigresen’,” katanya. 

Najmi ditemui Utusan Malaysia semasa The Intimate Dekati Showcase Najmi Niery yang berlangsung di DPCC, Sabtu lalu. 

Kecuaian pihak menganjur menyebabkan Najmi dan lima pemuzik asal Malaysia menjadi mangsa dan ditahan Jabatan Imigresen Indonesia selama dua hari. 

“Rupanya, pihak penganjur tidak memiliki permit untuk menganjurkan persembahan kami. Kata pegawai di sana, kalau mengikut undang-undang Indonesia, memang kami akan dipenjara. 

 “Akhirnya kami dibebaskan selepas melakukan perbincangan. Peristiwa itu juga menyebabkan saya tidak dapat meneruskan showcase dan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menanggung kerugian,” tambahnya. 

Najmi dalam pada itu bersyukur kerana peminat faham akan situasi yang dihadapi masih hadir memeriahkan showcase berkenaan. 

“Alhamdulillah kebanyakannya faham apa yang saya lalui. Saya sangat gembira dan terharu kerana tiket laris terjual. 

“Cuma saya sedikit terkilan memandangkan ada peminat dari Jakarta dan Bandung yang tidak dapat hadir disebabkan penangguhan showcase tersebut sebelum ini. 

“Persembahan malam ini saya dedikasikan kepada semua pendengar yang selama ini menyokong muzik dan lagu saya,” katanya yang memperoleh satu juta pendengar untuk lagu Dekati.

Menerusi showcase yang dihadiri 200 penonton itu, Najmi menyanyikan 12 lagu termasuk Dekati dan Sebentar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya