Dadah bernilai RM4.4 juta dirampas di Terengganu - Utusan Malaysia

Dadah bernilai RM4.4 juta dirampas di Terengganu

MAZLI Mazlan (kiri) menunjukkan sebahagian daripada motosikal yang dilucut hak di IPK, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.4 juta pada tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, jumlah rampasan itu termasuk tujuh kilogram pil kuda atau pil yaba yang dirampas menerusi Ops Camar di Besut pada November lalu.

Katanya, sepanjang tahun 2023 juga seramai 3,496 orang pengedar dan penagih dadah dicekup atas kesalahan di bawah Seksyen 6, 6B, 12(2), 39A (1), 39A (2) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, tangkapan itu menunjukkan penurunan hampir 10 peratus berbanding 3,880 orang yang ditahan atas kesalahan membekal dan memiliki dadah dalam tempoh sama pada 2022.

“Sejak Januari sehingga Disember tahun lalu, JSJN IPK Terengganu telah menjalankan tujuh Ops Camar dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM4,478,042.48.

“Pihak jabatan komited untuk menumpaskan sindiket dadah yang merupakan musuh nombor satu negara dan tangkapan dibuat turut membabitkan 35 pengedar dadah,” katanya.

Mazli berkata demikian pada Majlis Penyerahan Terima Harta Lucut Hak JSJN Kontinjen Terengganu kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPNT) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 15 buah kenderaan yang telah dilucut hak dilupuskan dengan cara memberi hadiah kepada JPNT bagi tujuan pembelajaran dan pelajaran automatif di tujuh buah sekolah.

Menurut Mazli, secara keseluruhan sebanyak 62 buah kenderaan berjaya dilucut hak untuk pelupusan sepanjang 2023 dengan baki 47 buah lagi akan dilupuskan melalui lelongan awam, bulan depan.

“Menerusi operasi oleh JSJN, bukan sahaja dadah tetapi pelbagai bentuk barangan seperti kereta, motosikal dan barang kemas turut dirampas serta disita untuk dijadikan bukti siasatan.

“Anggaran nilai rampasan dan sitaan pelbagai jenis kenderaan yang dibuat jabatan sepanjang operasi narkotik bagi tahun lalu adalah bernilai RM2,836,199,” tambah beliau lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya