Berapa pun kapasiti, penduduk tetap tolak asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar  - Utusan Malaysia

Berapa pun kapasiti, penduduk tetap tolak asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar 

MUHAMMAD IDIRIS Saleh (kanan) menunjukkan kawasan yang akan dibangunkan dengan projek asrama pekerja warga asing yang dibantah penduduk dalam sidang akhbar di Teluk Kumbar, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Penduduk Teluk Kumbar tetap membantah projek pembinaan asrama pekerja warga asing berkapasiti lebih 7,000 pekerja yang dicadang dibina di lot 1859, 1860 dan 1865, berhampiran Bandar Baru Perda, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Prof. Dr. Muhammad Idiris Saleh berkata, pendirian berkenaan telah dinyatakan secara terbuka kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menerusi perjumpaan  di pejabat Ketua Menteri semalam.

”Ketua Menteri maklumkan pihaknya akan menyemak semula perkara ini kerana kelulusan projek tersebut adalah kelulusan bersyarat, malah kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) juga adalah bersyarat, beliau juga maklumkan akan lakukan perbincangan dengan pihak berkaitan.

”Kami beritahu Ketua Menteri jangan bincang terlalu lama, penduduk tidak bersetuju dan tetap membantah sebarang projek pembinaan asrama pekerja warga asing di kawasan Teluk Kumbar,” katanya dalam sidang akhbar di Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Sebelum ini, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Kon Yeow semalam memaklumkan, projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar yang dibantah penduduk setempat sebenarnya adalah berkapasiti lebih 7,000 pekerja sahaja.

Menurut Muhammad Idiris, buat masa ini, Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar telah meminta ahli mereka untuk melakukan ‘gencatan senjata’ dengan kerajaan negeri sehingga keputusan terkini berhubung pembinaan asrama itu dibuat.

“Kalau selepas ini keputusan kerajaan negeri tetap untuk teruskan projek ini, kami akan teruskan bantahan dan tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan projek ini dibatalkan,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, kawasan Teluk Kumbar telah lama dianak-tirikan daripada pembangunan di negeri ini menyebabkan penduduk mempersoalkan berkenaan rancangan pembinaan asrama pekerja warga asing berkenaan.

Malah, ujar beliau, kawasan Teluk Kumbar juga agak jauh daripada kawasan perindustrian sekali gus dilihat tidak praktikal untuk dibina asrama pekerja warga asing.

”Kenapa asrama ini mahu dibina di Teluk Kumbar, di sini tiada balai bomba, tiada klinik kesihatan awam, namun tiba-tiba mahu dibina asrama pekerja warga asing.

”Sebab itu penduduk berasakan ia seolah-olah satu tindakan yang sengaja dilakukan yang mana ‘masalah’ sengaja mahu diletakkan di sini, bukan kemajuan yang sepatutnya dibawa kepada penduduk,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya