KUALA LUMPUR: Walaupun pernah digosipkan dengan beberapa gadistermasuk rakan selebriti, pelakon dan komposer, Naim Daniel menafikan hatinya sudah dimiliki.
Menurut penyanyi Sumpah itu, kesibukan bernyanyi dan berlakon membuatkannya enggan meletakkan perkahwinan sebagai keutamaan.
“Sudah banyak kali para media ajukan soalan begini namun nampaknya masih belum berjaya (ketawa). Tahun ini rasanya saya tiada masa juga mencari kerana sedang sibuk berlakon.
“Saya juga ada menghasilkan lagu dengan penerbit muzik Indonesia dan sedang ulang alik ke Jakarta. Kalender saya sampai bulan 12 pun sudah penuh.
“Kalau nak tamatkan zaman bujang, rasanya tidak. Saya bengong-bengong begini (perangai gila-gila) wanita malang manalah nak saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pernah dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan pelakon, Shasha Abedul, Naim enggan mengulas lanjut sebaliknya menegaskan hubungan mereka berdua hanya baik-baik sahaja.
“Saya okay dengan dia. Cuma pernah kerja sekali. Sekarang, kami hanya sebagai kawan dan saya menghormatinya. Selepas ini kami akan ada penggambaran sekali lagi dalam sebuah projek r bertajuk Projek Exit.
“Saya tidak rimas cuma normal di dalam industri hiburan peminat mahu tahu perkembangan. Bila akrab dengan seseorang pelakon di lokasi, kami dituduh terjebak dengan cinta lokasi,” tambahnya.
Terkini, Naim bakal tampil memeriahkan Pesta Muzik Kuantan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari 2024 di Stadium Darul Makmur Kuantan.
Turut sama meraikan majlis itu ialah Khai Bahar, Ara Johari, Nabila Razali, Eda Ezrin dan Den Manjo.