JOHOR BAHRU: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram membantu pergerakan 37 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 serta dua pengawas peperiksaan ke sekolah yang terletak di bandar Kota Tinggi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, terdapat dua titik pertemuan (check point) pengambilan pelajar, iaitu di parkir pasar raya Econsave Taman Daiman Jaya melibatkan 12 pelajar dan di parkir Masjid Jamek Kota Tinggi melibatkan 24 pelajar.
Menurutnya, calon SPM itu dihantar ke dua sekolah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab dan SMK Bandar, manakala seorang serta dua pengawas peperiksaan turut dihantar ke SMK Bandar dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
“Pada hari ni seramai 207 calon SPM telah menghadiri peperiksaan di kedua-dua buah sekolah tersebut.
“Sudah tentu ini menjadi keutamaan kami untuk memastikan kehadiran para calon SPM untuk hadir ke sekolah bagi menjawab peperiksaan ketika musim banjir ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Norlizah turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada anggota ATM yang sentiasa sedia untuk berkhidmat bagi melancarkan urusan calon SPM menghadapi ujian hari ini.










