ALOR SETAR: Keinginan untuk mengecapi gaya hidup mewah menjadi salah satu sebab golongan muda termasuk generasi Z turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, keghairahan bersaing untuk mengukuhkan status masing-masing dalam kalangan rakan sebaya mendorong mereka membuat keputusan tidak bijak termasuk terjebak dengan skim pelaburan haram.
“Mengikut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 26.2 peratus mangsa penipuan dalam talian berumur antara 20 dan 30 tahun dari 2019 hingga 2021.
“Orang tua mungkin terjebak dengan penipuan yang mengeksploitasi sifat belas kasihan mereka. Sebaliknya, golongan muda tunduk kepada godaan gaya hidup.
“Mereka tidak mahu dilihat ketinggalan dengan rakan-rakan mereka dan seterusnya tunduk kepada tekanan rakan sebaya. Mereka terjebak kerana ingin mengecapi kemewahan segera,” katanya selepas menyampaikan ceramah sempena Jelajah MyPesara Kumpulan Wang Persaraan Inc (Kwap) Kedah 2024, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kamal Affandi, perkembangan teknologi seperti media sosial banyak mempengaruhi keinginan generasi berkenaan membuat keputusan yang tergesa-gesa untuk mendapat kemewahan.
“Disebabkan teknologi dan media sosial, generasi muda hari ini berada dalam ketakutan kerana mereka takut ketinggalan dalam mengejar gaya hidup yang menjadi norma hari ini. Inilah sebabnya golongan muda mudah dimanipulasi dan terpengaruh dengan apa yang mereka lihat di media sosial,” tambahnya.
Menyentuh tentang warga emas terutama dalam kalangan pesara yang menjadi sasaran scammer, kata Kamal Affandi, mereka perlu berhati-hati dengan penipuan bertujuan kebajikan dan keagamaan.
“Tiga ‘godaan’ yang paling popular untuk warga emas ialah pinjaman, pembelian dan skim pelaburan. Apabila penipu ini menggunakan imej Islam atau agama untuk mengikuti skim mereka, ramai yang akan terpedaya,” katanya.
Beliau turut menasihati semua pihak supaya memastikan tabung amal anjuran mana-mana pihak memiliki permit sah daripada pihak berkuasa sebelum membuat sebarang transaksi.
“Penipuan bukanlah jenayah baharu. Satu-satunya perbezaan terletak pada kreativiti penjenayah untuk menipu. Jadi, ini yang kita kena beritahu orang ramai. Selain itu ingat, bukan anda seorang sahaja yang akan menderita jika menjadi mangsa, orang di sekeliling akan menjadi cagaran,” ujarnya. -UTUSAN