PUTRAJAYA: Spekulasi mengenai ada usaha pihak pembangkang mahu menumbangkan kerajaan menerusi Langkah Dubai disahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengakui beliau menerima laporan ‘perisikan’ berhubung perkara tersebut yang ‘panas’ sejak minggu lalu.
“Laporan dari segi ‘perisikan’ memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu, tetapi pada hemat kami, langkah itu membuang masa,” jelasnya berseloroh.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Taklimat dan Penyelarasan Situasi Terkini Banjir, di sini hari ini.
Kehadirannya selepas pulang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci semalam menjadi tumpuan media ekoran khabar angin berhubung isu plot Langkah Dubai akhir bulan lepas.
Ia didedahkan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti, Kementerian Komunikasi, Datuk Ismail Yusop bagi menggulingkan Kerajaan Perpaduan sepatutnya semalam.
Walau bagaimanapun usaha tersebut yang melibatkan beberapa pemimpin politik tertentu sewaktu percutian mereka di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dikatakan telah gagal.
Percubaan ini dipercayai untuk menubuhkan kerajaan baharu secara ‘tebuk atap’ sebelum berlaku peralihan kepada Yang di-Pertuan Agong berikutnya menjelang awal bulan depan.
Ahmad Zahid namun tidak mendedahkan sumber mana ‘perisikan’ maklumat itu malah tidak menyatakan siapakah tokoh politik yang menjadi dalang Langkah Dubai.
“Hanya mereka yang datang ke mesyuarat itu tahu,” katanya berjenaka apabila ditanya dan menegaskan Kerajaan Perpaduan masih kukuh lagi sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.
Dalam nada sinis, beliau menasihatkan mereka yang terlibat supaya bersabar menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 jika berhajat mahu menukarkan kerajaan sedia ada.
Pada masa sama, beliau tidak menyifatkan usaha dilakukan oleh kumpulan itu sebagai baik berdasarkan pengalaman ketika pertukaran kerajaan beberapa kali pada penggal lalu. – UTUSAN










