25,000 kanak-kanak di Gaza anak yatim

25,000 kanak-kanak di Gaza anak yatim

JUMLAH anak yatim di Gaza kini meningkat kepada 25,000 orang berbanding 8,000 yang direkodkan sebelum tercetusnya perang akibat kekejaman rejim Zionis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dianggarkan jumlah anak yatim di Gaza kini meningkat tiga kali ganda mencecah 25,000 orang berbanding 8,000 yang direkodkan sebelum perang akibat kekejaman rejim Zionis yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

Jumlah tersebut merangkumi kanak-kanak yang kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali dalam serangan tidak berperikemanusiaan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di seluruh tanah Gaza.

Peningkatan mendadak jumlah anak yatim itu mencetuskan kebimbangan lebih-lebih lagi apabila Kementerian Kesihatan Gaza turut melaporkan kenaikan signifikan membabitkan yang diklasifikasikan dengan akronim baharu iaitu kanak-kanak cedera tanpa ahli keluarga (WCNSF).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Strategik Perhubungan Awam Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, dianggarkan seramai 1,250 kanak-kanak WCNSF dirujuk ke hospital yang masih beroperasi di Gaza sejak perang mula meletus.

Bagaimanapun, menurutnya jumlah tersebut tidak menggambarkan angka sebenar golongan WCNSF memandangkan sistem kesihatan di wilayah tersebut hampir lumpuh kerana hampir 70 peratus fasiliti kesihatannya sudah tidak lagi beroperasi.

“Akronim WCNSF wujud disebabkan peningkatan ketara membabitkan kanak-kanak yang dirujuk ke hospital akibat kecederaan tanpa ibu bapa atau ahli keluarga yang terselamat dalam serangan tentera Israel.

“Ia juga menyumbang kepada peningkatan ketara jumlah anak yatim di Gaza yang terpaksa membesar tanpa ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali dalam keadaan serba daif,” katanya.

Setakat semalam sekurang-kurangnya 9,700 kanak-kanak Palestin maut dalam serangan tentera Israel manakala 70 peratus daripada 7,000 individu yang hilang dipercayai sudah meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan adalah golongan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhd. Haikal Luqman berkata, hampir 700,000 kanak-kanak di Gaza kini menjadi gelandangan selepas kediaman mereka dimusnahkan dalam bedilan bom tentera Israel sejak lebih 100 hari lalu.

Menurutnya, kesemua mereka kini menetap di dalam khemah-khemah plastik, sekolah, universiti, hospital dan bangunan lain yang masih terselamat daripada menjadi sasaran tentera penjajah.

“Sebahagian besar mereka terpaksa tinggal dalam khemah plastik nipis untuk berlindung daripada cuaca sejuk. Keadaan mereka sudah tidak terurus, kotor dan menyedihkan. Ia mengakibatkan penularan penyakit berjangkit di kalangan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN