PETALING JAYA : Rumah tidak berpenghuni di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini menjadi tumpuan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari bukti baharu pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin,6.
Utusan Malaysia difahamkan, sebanyak tujuh rumah tidak berpenghuni di blok terbabit telah diperiksa.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah keseluruhan kediaman yang ada di Blok R dan tiada pengesahan lanjut mengenai perkara ini.
Terdahulu, pasukan forensik mengambil masa hampir dua jam membuat pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni di tingkat tiga dan tingkat empat Blok R terbabit.
Mereka terlebih tiba sekitar pukul 3 petang sebelum membuat pemeriksaan di blok itu dan dilihat keluar sekitar pukul 5 petang.
Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapat penemuan bukti baharu hasil pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni itu.
Meskipun sudah memasuki hari ke-11 anggota polis melakukan siasatan, tumpuan dilihat masih terarah pada Blok R yang mana lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang. – UTUSAN