MELAKA: Dua wakil rakyat DAP di Melaka membantah penutupan jalan selama 54 jam di Bandar Hilir di sini, untuk Zon Bebas Kenderaan dari pukul 6 petang Jumaat sehingga 12 tengah malam Ahad.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Chee Yee berkata, inisiatif itu terbukti gagal dan kesan buruk yang terhasil jauh lebih banyak daripada kesan baik dihasratkan kerajaan negeri.
Jelasnya, apabila pengumuman Zon Bebas Kenderaan dibuat sekitar Mei lalu, beliau pernah menyatakan pendirian tidak bersetuju atas sebab ketidaksediaan kawasan terlibat daripada segi pengangkutan awam dan tempat letak kenderaan.
Ujarnya, tambahan pula, jalan yang ditutup merupakan laluan utama diguna pakai rakyat Melaka setiap hari.
“Sepanjang tempoh percubaan yang bermula sejak Ogos di mana Poay Tiong dan ADUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen dilibatkan dalam sesi-sesi dialog, beberapa kerisauan dibangkitkan seperti kesesakan jalan, laluan kecemasan ke hospital dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kesan kepada perniagaan kecil serta kekeliruan pelancong yang memandu dalam kawasan tersebut.
“Dalam beberapa pentadbiran kerajaan negeri yang lalu, cadangan sedemikian pernah dibangkitkan termasuk pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018 di mana saya salah seorang Exco.
“Walaupun secara dasarnya, kerajaan negeri patut berusaha ke arah itu seperti mana yang dilaksanakan dalam beberapa negara pelancongan yang lain, namun ia tertakluk kepada cara pelaksanaan dan perlu melihat kepada keadaan semasa lokasi tersebut, seperti sistem pengangkutan awam dan kawasan letak kenderaan.
“Ini adalah sebab kenapa inisiatif Zon Bebas Kenderaan tidak dilaksanakan pada zaman pentadbiran PH di Melaka, kerana ada aspek lain yang perlu ditambah baik dahulu sebelum boleh dilaksanakan dengan berkesan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Poay Tiong berkata, kerajaan negeri menjalankan perancangan itu secara tiba-tiba pada waktu puncak, menyebabkan para peniaga tidak bersedia.
Katanya, ia bukan sahaja tidak memberi faedah kepada industri pelancongan tempatan, malah merugikan peniaga dan menyebabkan pelancong enggan melawat Melaka.
“Para peniaga secara sukarela memulakan petisyen, berharap kerajaan negeri membatalkan rancangan Zon Bebas Kenderaan, ia menunjukkan kesan yang sangat serius terhadap mereka.
“Selain itu, kawasan pusat bandar Melaka tidak ditambah jalan baharu dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, tetapi bilangan kenderaan dałam negeri terus meningkat. Rancangan itu turut dilaksanakan di pusat bandar, ia hanya akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Peniaga Pengusaha Kecil Melayu Negeri Melaka (PPPPKMNM) Cawangan Melaka Bandar, Abdul Rahim Embi berkata, pihaknya akan membawa beberapa cadangan untuk pertimbangan kerajaan negeri antaranya penutupan jalan daripada 54 jam kepada hanya 18 jam untuk Zon Bebas Kenderaan.
Jelasnya, setakat ini tiada wakil kerajaan negeri termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengadakan pertemuan dengan pihaknya.
“Memang semua peniaga di sini mengharapkan cadangan penutupan jalan dari 54 jam kepada 18 jam mendapat perhatian kerajaan negeri. Penutupan jalan waktu siang pada Sabtu dan Ahad memang menjejaskan pendapatan hampir 100 peniaga di sini.
“Ini disebabkan bas-bas pelancong tidak dapat masuk, begitu juga kereta dan motosikal berbanding pada hari biasa,” katanya ketika dihubungi.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 100 peniaga di Medan Samudera meminta kerajaan negeri mempertimbangkan penutupan jalan Zon Bebas Kenderaan dari 54 jam kepada hanya 18 jam.
Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai kaedah untuk membawa masuk pelancong ke kawasan Zon Bebas Kenderaan berikutan isu penutupan itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak sama sekali menganiaya peniaga dengan bersikap zalim sehingga kelompok terlibat tidak dapat menjalankan perniagaan kerana ketiadaan pengunjung.
Tambah Abdul Rahim, majoriti peniaga tidak mempunyai masalah dengan keputusan kerajaan negeri sebelum ini yang hanya menguatkuasakan Zon Bebas Kenderaan dalam tempoh enam jam setiap Sabtu.
“Semua peniaga di sini berharap dapat berjumpa dengan Rais bagi menyelesaikan masalah berikutan keputusan menutup jalan selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad,” katanya. – UTUSAN










