Usia sudah cecah 100 tahun, Evelyn masih ingat bahasa Portugis

Usia sudah cecah 100 tahun, Evelyn masih ingat bahasa Portugis

EVELYN Lowe menunjukkan gambar yang dibeli di Australia membawa unsur-unsur perayaan Krismas di rumahnya di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sesuatu yang mengagumkan apabila melihat sosok tubuh yang sudah berusia 100 tahun masih mempunyai daya ingatan yang kuat.

Wanita warga emas, Evelyn Lowe daripada Perkampungan Portugis, Ujong Pasir di sini mampu berbahasa Portugis dengan baik walaupun umurnya te­lah menjangkau satu abad.

Evelyn berkata, meskipun bahasa Melayu dan bahasa Inggeris kini digunakan sebagai medium perantara harian masyarakat Portugis di kampung itu, ia langsung tidak menjadi alasan bagi dirinya melupakan bahasa ibunda keturunannya.

“Walaupun sudah menganjak usia ke 100 tahun, saya bersyu­kur masih mempunyai ingatan yang kuat dan mampu bertutur bahasa Portugis dengan baik. Ramai yang terkejut apabila mengetahui saya boleh berbahasa Portugis, meskipun rata-rata masyarakat di sini bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Contohnya kalau ke hospital, doktor terkejut apabila mendapat tahu saya telah mencecah usia 100 tahun dan masih mampu mengingati bahasa Portugis dengan baik, mereka sering menguji daya ingatan saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Evelyn, sambutan perayaan Krismas masyarakat Portugis di kampung itu lazimnya dimulakan ke gereja berhampiran rumah, sebelum ke gereja utama, St. Peter’s di Jalan Bendahara.

Ujarnya, daripada segi keunikan juadah perayaan, mereka turut menyediakan wajik dan dodol yang merupakan makanan tradisional Melayu semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

“Selepas pulang daripada gereja kami akan berkumpul di rumah untuk menjamu selera. Antara menu istimewa adalah kari debal, chap chai, acar cili dan beberapa jenis kek yang dibuat sendiri sebagai simbolik meraikan perayaan. Saya juga akan buat dodol dan wajik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN