Trend bercuti ke Thailand bersifat sementara 

Trend bercuti ke Thailand bersifat sementara 

MOHD. Salleh Saidin (tengah) ketika majlis perasmian Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah yakin trend orang ramai terutama rakyat negeri ini melancong ke Thailand bersifat sementara dan dijangka reda menjelang tahun depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin berkata, kerajaan negeri sedang menyusun pelbagai program tahun depan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini terutama di Langkawi.

 “Pertama, kita tak boleh halang mereka untuk pergi melancong ke mana-mana sahaja. Kedua, kerajaan negeri giat untuk mengangkat pelancongan negeri ini dan usaha ini akan lebih rancak lagi bermula 2024.

“Trend masyarakat melancong ke Thailand ada banyak sebab, mereka masih teringin nak pergi jalan ke luar negara, namun perkara itu tak lama berlarutan. Kita akan lipat ganda promosi Kedah dan mereka akan singgah ke Kedah.

“Langkawi pun kita majukan (walaupun) Langkawi sudah popular namun kita mahu naikkan lagi promosi menjelang Tahun Melawat Kedah 2025,” katanya selepas hadir ke Majlis Perasmian Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu mengalami kesesakan luar biasa ekoran rakyat negara ini berpusu-pusu ke negara gajah putih itu untuk bercuti.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain memberitahu, setakat kelmarin seramai 78,301 pengembara keluar masuk menggunakan pintu sempadan itu.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Salleh berkata, pihaknya turut menjangkakan peningkatan kemasukan pelancong terutamanya di Langkawi ketika musim cuti sekolah ini.

“Pada Oktober sahaja, data diperoleh merekodkan 2.2 juta pengunjung di Langkawi dan saya yakin dengan cuti sekolah ini, maka berlaku peningkatan. Jika kita pergi ke Langkawi sekarang, memang sesak dengan kehadiran pelancong.

“Banyak program juga dilaksana untuk menjadikan Langkawi terus menjadi tumpuan seperti penganjuran Uptown@Adya, ia usaha kerajaan merancakkan pelancongan di Langkawi,” katanya.

Sementara itu menyentuh peningkatan kes Covid-19 melebihi 20,000 kes sejak kebelakangan ini, kata beliau, kerajaan negeri yakin situasi tersebut tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negeri.

“Rakyat tidak perlu panik tetapi kita perlu berwaspada dengan menjaga diri masing-masing dan pakai pelitup muka ketika berada di tempat ramai,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN