Tradisi pemimpin Melayu PM perlu dihormati

Tradisi pemimpin Melayu PM perlu dihormati

Kenyataan Lim Kit Siang mengenai Perdana Menteri bukan Melayu menimbulkan polemik. - UTUSAN/FIRDAUS MOHD JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tradisi pemimpin Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri akan terus kekal terjamin selagi ia dihormati dan disokong oleh majoriti ahli Parlimen serta parti-parti politik di negara ini.

Buktinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri Ke-10 terutama dalam kalangan pemimpin bukan Melayu daripada DAP dan PKR.

Begitu juga ketika pemimpin Melayu terdahulu yang dilantik sebagai Perdana Menteri seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendapat sokongan daripada MCA, MIC dan Gerakan.

Malah, Tun Dr. Mahathir mendapat sokongan DAP dan PKR untuk menjadi calon dan dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-7 pada 2018 berbanding pemimpin lain apatah lagi pemimpin bukan Melayu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar perang saraf dan keselamatan negara, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tradisi ini terus dikekalkan oleh kerajaan Perpaduan berdasarkan kepada hakikat orang Melayu adalah penduduk majoriti dan mereka layak memimpin negara.

Katanya, perpaduan yang wujud dalam kerajaan hari ini juga adalah bersandarkan kepada kekuatan dan kedudukan kuasa orang Melayu.

“Kerajaan Perpaduan sudahpun membuktikan ia dapat membentuk sebuah kerajaan yang diterajui oleh seorang Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin Melayu.

“Kedudukan Melayu sebagai Perdana Menteri tidak perlu disentuh dan diperbesarkan hanya kerana mahu mewujudkan tekanan emosi dan mengancam masyarakat sedangkan prinsip Perlembagaan menunjukkan tradisi ini perlu dipertahankan supaya kerajaan kekal stabil serta kepentingan Melayu, Islam dan raja-raja terus dipelihara,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, tradisi ini perlu terus dihormati oleh semua pihak tanpa perlu mewujudkan sebarang polemik, prasangka mahupun prejudis yang boleh merugikan negara.

“Dominasi politik dalam kalangan orang Melayu akan berterusan di negara ini dan dengan adanya Majlis Raja-Raja, prinsip Perlembagaan dan sebagainya, orang Melayu tidak akan hilang kuasa di negara ini,” katanya.

Kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bahawa kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri mengundang kritikan pelbagai pihak sehingga menjadi siasatan pihak polis.

Susulan itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Anwar meminda Perlembagaan supaya hanya orang Melayu sahaja boleh menjadi Perdana Menteri, namun cadangan itu disangkal oleh Anwar.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mendakwa kenyataan Kit Siang seolah-olah menunjukkan tiada jaminan orang Melayu akan menjadi Perdana Menteri di masa akan datang.

Bagaimanapun, Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Perpaduan Nasional di Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, Perlembagaan dan sistem kerajaan sedia ada sendiri sudah menjamin pelantikan Perdana Menteri dalam kalangan orang Melayu.

“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa lantikan terhadap Perdana Menteri, raja-raja juga orang Melayu dan kebanyakan jawatan tinggi kerajaan dipegang orang Melayu jadi tidak timbul isu ini dan kedudukan Melayu tidak tercabar.

“Walaupun Kit Siang mengatakan Perlembagaan membolehkan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri, ini tidak mungkin berlaku ketika ini kerana orang bukan Melayu sendiri tidak mahu berintegrasi dengan struktur sosial masyarakat Melayu, mana mungkin orang Melayu boleh terima orang bukan Melayu menjadi pemimpin,” ujarnya.

Katanya, selagi orang bukan Melayu masih belum dapat berasimilasi dengan baik dengan masyarakat Melayu termasuk soal penguasaan bahasa Melayu, selagi itu orang bukan Melayu tidak akan diterima untuk menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN