KUDAT: Kegembiraan tiga kanak-kanak mandi di kolam terbiar berakhir dengan tragedi apabila ketiga-tiga mereka ditemukan lemas di Kampung Perpaduan Ria 1, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, ketiga-tiga kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 5.36 petang dan sepasukan lapan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer daripada BBP.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, tiga kanak-kanak dikenali sebagai Mohd. Syahzwan, 7; Wan Hermi, 11 dan Nurul Isah, 11, telah dibawa keluar dari kolam terbiar itu oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Ketiga-tiga mangsa telah diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan ambulans, jentera EMRS dan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kudat. Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.40 malam. –UTUSAN