ALOR SETAR: Kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan sudah tiada alasan untuk tidak mempertimbang kelulusan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) kerana segala keperluan yang menjadi syarat untuk membangunkan fasiliti itu hampir lengkap.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, para pelabur yang berpusu-pusu ke Kedah kini turut menyatakan keyakinan mereka terhadap pembinaan lapangan terbang itu.
Katanya, baru-baru ini beliau bersama barisan pengurusan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. telah ke Rom, Itali atas jemputan Enav Group yang terkenal dalam bidang penyediaan khidmat pengurusan lalu lintas serta navigasi udara.
“Menariknya, mereka menggunakan teknologi terkini kawalan udara dengan hanya menggunakan kamera tanpa perlu membina menara tinggi di lapangan terbang.
“Malah pusat kawalan juga hanya berada di tingkat satu bangunan. Perkara itu saya rasa akan menjadi teknologi masa depan dalam industri penerbangan dan mereka menawarkan perkhidmatan tersebut kepada KXP.
“Selain itu, mereka juga sedia melatih pengendali pusat kawalan untuk guna pelbagai aplikasi kawalan udara menggunakan kamera. Setakat ini kita rasa semua keperluan yang menjadi syarat untuk membina KXP sudah hampir sempurna dan tiada sebab lagi untuk projek itu tidak dipertimbangkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Tambah beliau, kelulusan terhadap pembinaan KXP cukup penting kerana Kerajaan Persekutuan sebelum ini sudah memberi kelulusan kepada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk memulakan pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) Sidam Logistics, Aerospace dan Manufacturing Hub (SLAM) serta taman perindustrian dan perniagaan yang menjadi komponen Kedah Aerotropolis.
“Semua itu sudah ada kelulusan tetapi penggerak utama kepada projek-projek tersebut adalah landasan kapal terbang. Kalau tak ada landasan, maka MRO tak boleh dilaksanakan dan disebabkan itu perlulah ada kelulusan kepada KXP secepat mungkin,” katanya,
Sementara itu katanya, masih terdapat pihak yang mempertikai pembangunan projek itu yang dikatakan akan tetap menggunakan dana Kerajaan Persekutuan kelak, khususnya berkaitan pengambilan semula tanah.
“Saya ada terbaca dakwaan sedemikian tetapi sebenarnya apa yang dikatakan itu tak betul. Kos pengambilan semula tanah akan dibuat oleh pelabur.
“Saya dah sebut sebelum ini bahawa kita telah tetap syarat kepada pelabur untuk sediakan RM2.5 bilion iaitu 125 peratus daripada anggaran kos pengambilan semula tanah dalam tempoh 90 hari. Saya harap tanggapan sebegitu dapat diperbetul,” katanya. -UTUSAN










