PERJALANAN seni lebih dua dekad Dayang Nurfaizah menyaksikan laluan turun dan naik yang ditempuh penyanyi ini.
Peminat mengikuti graf perubahan dan perkembangan Dayang sejak awal kehadirannya dalam dunia hiburan tanah air.
Dayang sekarang ini berada pada kedudukan tersendiri. Penyanyi ini bukan sahaja dianugerahkan suara bak buluh perindu, kecantikan menyejuk mata, tetapi juga sikap menyenangkan ramai.
Rezeki buat saya kerana sekali lagi berpeluang bertemu serampang dua mata dengan penyanyi bersuara emas ini, baru-baru ini. “Kenapa Dayang nampak kurus sangat?” Tanya saya yang agak risau tentang kesihatan penyanyi ini.
Iyalah, kita menjadi saksi betapa kuat Dayang bekerja. Menyanyi pula bagai tiada rehat, dari satu pentas, ke pentas lain. Terfikir saya kalau kesibukan itu membuatkan Dayang makan tak kenyang, tidur tak lena.
“Saya sihat, Alhamdulillah. Badan kurus pun sebab saya jaga makan. Bukan sakit atau apa. Mohon netizen tidak fikir yang bukan-bukan. Kata-kata itu doa, bukan?
“Mahu atau tidak, dalam business entertainment, artis memang kena nampak cantik. Bukan nak kata ia tuntutan kerja, cuma ini juga kebaikan untuk diri saya. Umur pun semakin meningkat.
“Kesihatan, baik dalaman dan luaran perlu saya jaga. Saya pun nak menyanyi lama,” katanya.
Fizikal Dayang, yang terlalu kurus ini sebenarnya menjadi sorotan netizen di media sosial.
Sampaikan ada pihak berprasangka, konon Dayang melakukan pembedahan untuk kelihatan langsing.
Dayang menolak dakwaan tersebut. Tiada pembedahan atau prosedur ekstrem seperti yang diperkatakan.
“Saya tak pernah buat pembedahan untuk kelihatan langsing. Operasi begitu menakutkan saya.
“Fizikal saya yang anda lihat hari ini adalah hasil selepas saya jaga makan. Pernah satu fasa, berat badan saya turun naik. Sebab itu, saya putuskan untuk kekalkan berat badan ideal untuk penampilan.
“Ini juga untuk kesihatan. Saya hendak terus cari sumber rezeki dengan menyanyi. Jadi, berat badan kena jaga. Apa pun, saya mohon doa semua agar saya terus sihat dan berkemampuan,” ujarnya.

KONSERT MEGA? DOAKAN …
PENGALAMAN 24 tahun Dayang sebagai anak seni cukup melayakkan dia beraksi dalam sebuah konsert mega yang disaksikan ribuan penonton.
Yang paling mengharapkan adalah peminat yang sentiasa mendambakan sebuah konsert solo yang mungkin berlokasi paling tidak pun di dewan seluas Axiata Arena.
“Semua penyanyi, baru atau lama, tentu mengimpikan sebuah konsert berskala besar. Paling tidak, sekali seumur hidup.
“Prinsip saya begini, biar masa yang tentukan. Kita susah hendak jangka kemunculan peluang, kadang-kadang dalam kita tidak merancang, tiba-tiba ia datang.
“Apa pun saya percaya, kalau sudah diizinkan Tuhan, konsert mega tetap menjadi pentas saya .Bila? Belum tahu jawapannya,” katanya.
Penyanyi berkulit hitam manis ini tidak mahu menjanjikan bulan bintang. Sebaliknya, meminta peminat terus mendoakan.
Namun, seingat saya, harapan peminat jarang sekali penyanyi ini sia-siakan.
“Saya kena betul-betul merancang, Tak mahulah sekadar ‘nak buat’. Kena ada pengisian atau sebab kenapa saya hendak adakan konsert mega. Sesuatu untuk saya raikan.
“Apa pun, kepada peminat yang mengharapkan, doa-doakan saya. InsyaAllah, akan saya usahakan,” jelasnya.

BUKAN ALBUM ‘SYOK SENDIRI’
SEPANJANG perbualan, penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang ini sempat memaklumkan tentang sebuah album yang sedang disiapkan.
Perkongsian ini menjadi khabar gembira bagi peminat yang sekian lama menunggu ‘buah tangan’ baharu daripadanya.
“Album masih dalam pembikinan. Saya mencari masa untuk masuk ke studio rakaman. Insya-Allah, akan saya percepatkan.
“Bukan saya sengaja lengah-lengahkan. Beri sedikit masa untuk saya pilih lagu yang terbaik. Jangan khuatir, saya pun tak mahu peminat tertunggu-tunggu,” kongsinya.
Kata Dayang lagi, dia mencari kelainan untuk album kesebelas ini. Percaturan kali ini juga berbeza. Justeru, Dayang meraikan sentuhan komposer muda dan berpengalaman untuk mendapatkan titik perbezaan.
“Ini bukan album ‘syok sendiri’, Saya benar-benar mengharapkan pembaharuan. Dari segi muzik, saya mahu terus berkembang. Justeru, saya terbuka untuk berbincang.
“Hala tuju album ini bukan saya seorang tentukan. Ia melibatkan komposer baharu dan lama.
“Apa pun, saya meraikan pandangan. Yang boleh saya janjikan adalah kelainan dan suntikan pemba haruan,” katanya.5










