Tertelan air ketuban, kanak-kanak perlu penjagaan rapi

Tertelan air ketuban, kanak-kanak perlu penjagaan rapi

NORHIDAYAH Zulkarnain mencium anak istimewanya, Mohamad Abdullah ketika ditemui di rumahnya di Taman Semarak 2, Nilai, Seremban. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Akibat tertelan air ketuban sehingga menimbulkan komplikasi pada kesihatan, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terpaksa mendapat perhatian sepenuhnya daripada ibu serta keluarga.

Ibu kanak-kanak lelaki berkenaan, Norhidayah Zulkarnain 40 berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu, Mohamad Abdullah Mohammad Tahak memerlukan penjagaan rapi setiap masa bagi meneruskan hidup.

Lebih memilukan, perkembangan Mohamad Abdullah ti­dak seperti kanak-kanak nor­mal yang lain meskipun dari segi fizikalnya nampak seperti kanak-kanak normal. Menceritakan kejadian tersebut, Norhidayah berkata, anak bongsunya tertelan air ketuban ketika dalam kandungan sehingga mengakibatkan lemas di dalam perutnya. “Doktor cuba selamatkan, namun, sebaik sahaja Mohamad Abdullah dapat disambut dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Pada waktu itu, kami sedih apabila doktor memberitahu Mohamad Abdullah mungkin tidak dapat diselamatkan akibat insiden tersebut (tertelan air ketuban).

“Namun, Allah Maha Besar, Mohamad Abdullah dapat disela­matkan tetapi malangnya dia mengalami komplikasi kesihatan. Selama 47 hari Mohamad Abdullah ditempatkan di ICU untuk pemantauan lanjut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Semarak 2, Nilai, di sini.

Menurut Norhidayah, ketika ini, pembesaran Mohamad Abdullah tidak seperti kanak-kanak normal seusianya berikutan tidak mampu bercakap dan penglihatannya kabur selain sukar berdiri dan duduk.

“Apabila dia cuba duduk sahaja, akan jatuh balik, begitu juga dengan berjalan. Tapi dalam tempoh sebulan ini nampak perkembangan baik pada dirinya yang boleh cuba duduk sendiri.

“Kami reda dengan nasib Mohamad Abdullah selain tabah menjaganya,” katanya yang juga suri rumah.

Menurut Norhidayah, dia dan suami, Mohammad Tahak Hassan 57, kini perlu mengikuti janji temu setiap bulan bagi rawatan lanjut serta menjalani terapi kanak-kanak bagi Mohamad Abdullah.

“Dari segi pemakanan, Mohamad Abdullah hanya bergantung sepenuhnya pada susu formula. Untuk keperluan lain, saya bersyukur anak-anak yang sudah bekerja memberikan sedikit bantuan kewangan selain pihak-pihak lain yang prihatin, ia membolehkan kami menampung sebahagian perbelanjaan menguruskan Mohamad Abdullah, walaupun kadang-kadang ia tidak mencukupi,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya