Terima kasih doakan saya - Isma Aliff - Utusan Malaysia

Terima kasih doakan saya – Isma Aliff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Artis serba boleh era 1980-an, Mohd Latiff Ismail atau lebih dikenali Isma Aliff, 59, yang ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru serta diserang ‘minor stroke’ kini dilaporkan semakin pulih.

Difahamkan, Isma yang dirawat di Hospital Ampang bagaimanapun masih perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan malah, beliau juga dikatakan sudah sedar dan boleh bercakap dengan rakan-rakan yang menziarahinya.

Isma ketika ditemui berkata, beliau dimasukkan ke hospital Jumaat lalu dan diserang ‘minor stroke’ pada hari yang sama.

“Alhamdullilah, hari ini saya sudah sedar dan boleh mengambil susu sebagai makanan. Saya juga dinasihatkan untuk berehat beberapa hari lagi di hospital bagi rawatan susulan sebelum dibenarkan pulang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat yang mendoakan kesihatan termasuk yang menyampaikan sumbangan,” katanya kepada media ketika menerima kunjungan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Hospital Ampang di sini.

PKAVM yang diwakili Presidennya, Tukiman Radion turut menyerahkan sejumlah sumbangan kepada Isma.

Turut hadir, rakan baik Isma, Ebby Saiful Ali dan artis 80-an yang juga Bendahari PKAVM, Maria Wahab.

Sementara itu, Tukiman berkata, lawatan diadakan ini adalah salah satu aktiviti sosial kemasyarakatan (CSR) persatuan dalam menjaga kebajikan ahli yang berdepan kesusahan.

Menurutnya, pihaknya juga tidak meminggirkan waris dan keluarga Allahyarham Ibnor Riza yang meninggal dunia pada Ahad lalu malah, turut hadir ketika pengebumian di Kampung Tengkek, Batu Kikir, Negeri Sembilan.

“Saya menyeru kepada artis veteran yang masih belum menyertai PKAVM agar menganggotai persatuan ini supaya kebajikan mereka terbela.

“Kita memahami pada masa ini terdapat segelintir artis veteran yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan tawaran berlakon. Jadi, jika mereka menyertai PKAVM kita dapat tahu masalah dihadapi mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN